PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil berasa suka dalam duka selepas skuadnya tumpas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Kekalahan itu membuka lebih luas jurang antara kedua-dua kelab dengan JDT kini berada di depan Selangor sebanyak lapan mata.
Nidzam tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila tumpas dengan keputusan sebegitu di laman sendiri.
BACA LAGI: Teruk dikritik, ini 3 sebab tak adil label Sharul Nazeem lubuk Selangor berdepan JDT
BACA LAGI: Bergson akui bukan mudah, bek Selangor akur nasib kurang menyebelahi
"Saya rasakan keputusan itu tidak bagus, lagi-lagi kalah 0-3 di laman sendiri. Ada perkara perlu dibaiki. Setiap tahun, kita sasarkan untuk bertambah baik, walaupun ia sekadar 10 peratus, itu adalah bagus.
"Pada musim lalu, kami di belakang pendahulu liga sebanyak 15 hingga 20 mata. Musim ini saya tak pasti tapi kami mahu rapatkan jurang.
"Kami tidak gembira dengan kekalahan ini. Jika ada yang gembira dengan kekalahan, ada sesuatu yang tak kena," ujar Nidzam.
Safuwan sudah kembali dari kecederaan dialaminya.
Dalam pada kecewa dengan kekalahan itu, Nidzam lega melihat dua pemainnya iaitu Safuwan Baharudin dan Mukhairi Ajmal kembali menguatkan Gergasi Merah.
Kedua-dua pemain tersebut dimasukkan di separuh masa kedua bertemu JDT dan berpeluang diturunkan semasa Selangor berdepan Kedah Darul Aman FC pada 2 November.
"Kedua-dua pemain menunjukkan kebolehan fizikal dalam minggu lalu tapi kami mengambil risiko untuk memainkan mereka walaupun mereka mungkin akan mendapat kecederaan lagi.
"Alvin Fortes turut cedera dan dia terlepas aksi bertemu Jeonbuk Hyundai Motors tapi kami ambil risiko dengan turunkan dia juga," jelas Nidzam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram