Cepatkan urusan ambil alih, pemain Sang Kenari sangat perlukan bantuan — Pakar


  • Podium
  • Selasa, 29 Okt 2024

Para pemain Kedah pastinya menyambut baik cadangan untuk pemilik baharu mengambil alih kelab.

KEDAH Darul Aman FC seolah-olah menerima talian hayat apabila terdapat sebuah entiti bersedia untuk mengambil alih pemilikan kelab.

Entiti dikenali sebagai DSAT Group Sdn Bhd yang diketuai Pengarah Eksekutifnya iaitu Datuk Seri Azizul Tandek dilihat begitu serius untuk mengambil alih Sang Kenari.

Buat masa ini, Azizul sudah berjumpa Exco Belia dan Sukan negeri Kedah, Radhi Mat Din dan dijangka bertemu dengan Tan Sri Dr Daud Bakar dalam masa terdekat.

BACA LAGI: 'Semoga dimudahkan urusan', kepak Kenari beri DSAT Group 'lampu hijau' ambil alih Kedah

BACA LAGI: Terima pelaburan bernilai 50 billion USD, masa depan KDA FC makin terjamin hasil sentuhan Dubai di tangan ahli perniagaan Sabah

2991359

Azizul (kanan) begitu serius untuk mendapatkan Kedah.

Melihat kepada situasi tersebut, ramai penyokong Kedah yang memberikan 'lampu hijau' agar DSAT Group mengambil alih Sang Kenari dan menyelamatkan mereka daripada masalah kewangan berterusan.

Pandangan serupa dikongsi oleh pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, dengan mengharapkan jika benar DSAT Group ingin mengambil alih Kedah, lakukannya dengan secepat mungkin.

Hal ini kerana, para pemain Sang Kenari amat memerlukan bantuan untuk menamatkan siri tunggakan gaji dihadapi mereka.

"Apabila kita mendengarnya, ia adalah satu perkara yang melegakan untuk Kedah, nampak seperti ada petanda positif. Tapi kita kena tunggu juga, kalau benar perkara itu berlaku cepat-cepatlah tunjukkan komitmen.

"Hal ini kerana, pemain-pemain Kedah sangat memerlukan (gaji). Kita boleh nampak, mereka tunjukkan keputusan baik apabila seri dengan PDRM FC dan menewaskan Terengganu FC, jadi berita ini pastinya merangsang semangat pemain.

"Jika betul, cepat-cepatkanlah. Cepat segerakan kerana pemain mempunyai komitmen. Jangan buatkan mereka ternanti-nanti dan kemudiannya rasa tertipu dan menaruh harapan tinggi," katanya kepada Majoriti.

Untuk memastikan urusan ambil alih itu berhasil, Daud sebagai pemilik kelab pastinya akan meletakkan tanda harga sebelum melepaskannya kepada DSAT.

Pekan berasakan jika Daud benar mahu melepaskannya, dia tidak seharusnya meletakkan syarat yang terlalu ketat hingga urusan transaksi tidak berjaya.

"Ia terletak kepada keikhlasan dan ketelusan pemilik dalam menjual kelab tersebut. Saya harap dia tidak tarik tali (dalam meletakkan harga) atau meletakkan syarat yang ketat.

"Jika tidak, ia akan menjadi seperti Kelantan FC, hingga sekarang tidak terjual. Minat untuk orang luar membeli itu sudah ada, tapi apabila diletakkan syarat yang terlalu ketat, mereka kemudiannya tidak jadi membelinya.

"Jangan bebankan mereka lagi, jika mereka setuju untuk ambil alih kelab, mereka perlu tanggung liabiliti sedia ada terutamanya gaji para pemain yang tertunggak," jelas Pekan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram