SEORANG pemuda berusia 24 tahun dari wilayah Anhui di timur China dikenali sebagai Gong telah mengharungi perjalanan penuh cabaran dengan berbasikal sejauh 13,000 km selama tujuh bulan demi bertemu idolanya, pemain bola sepak terkenal Cristiano Ronaldo.
Perjalanan luar biasa itu bermula pada 18 Mac apabila Gong meninggalkan rumahnya menuju ke Riyadh, Arab Saudi iaitu tempat Ronaldo beraksi bersama kelab Al Nassr.
Sepanjang perjalanan, Gong mengayuh basikal merentasi Beijing dan memasuki Kazakhstan, sebelum meneruskan perjalanan melalui enam negara lain termasuk Georgia, Iran dan Qatar.
Lelaki itu akhirnya tiba di Riyadh pada 10 Oktober, namun Ronaldo sedang berada di Eropah untuk menghadiri satu perlawanan.
Bagaimanapun, kelab Al Nassr telah berjanji untuk mengatur pertemuan singkat di antara Gong dan Ronaldo.
Gong akhirnya dapat bertemu idolanya pada Ahad lepas dan menggambarkan detik itu sebagai impian yang menjadi kenyataan.
Cristiano Ronaldo, 39 tahun, lebih dikenali sebagai C Luo di China, adalah penjaring gol terbanyak sepanjang zaman dengan lebih daripada 900 gol dalam perlawanan rasmi.
Ronaldo juga memegang rekod jumlah pengikut terbesar di Instagram iaitu sebanyak 640 juta pengikut.
Keputusan untuk memulakan perjalanan panjang itu timbul selepas Ronaldo membatalkan lawatannya ke China pada Februari lalu kerana kecederaan.
Sepanjang pengembaraannya, Gong membawa kelengkapan asas termasuk dua pengecas mudah alih, sebuah khemah, peralatan memasak, pakaian dan barang-barang keperluan lain.
Di negara-negara dengan kos sara hidup tinggi, Gong hanya mampu makan berbekalkan roti dan berkomunikasi dengan penduduk tempatan menggunakan aplikasi terjemahan.
Pada Ogos lalu, Gong mengalami demam panas semasa berada di Armenia dan pengsan di tepi jalan sebelum dibantu dan menerima rawatan secara percuma di hospital tempatan.
Beliau mengakui bahawa pengalaman itu membantunya memperoleh ramai kenalan baru dan mengajarnya erti kesabaran serta kematangan.
Pada 19 Oktober, seorang peminat Ronaldo lain dari China, yang dikenali sebagai Apple menemani Gong menyaksikan perlawanan Al Nassr menentang Al Shabab dan ini merupakan kali pertama Gong melihat Ronaldo beraksi secara langsung.
Dalam pertemuan selama satu minit, Gong menceritakan Ronaldo berjabat tangan dengannya, memeluknya dan menandatangani jersi nombor 7 serta sepanduk yang memaparkan nama rakan-rakannya dan tulisan 'Impian saya adalah cinta sejati dan kebebasan'.
Gong telah berkongsi detik tersebut dalam satu klip video di media sosial.
"Saya telah bertemu wira saya. Saya bercadang untuk meneruskan perjalanan ke Portugal, tanah air Ronaldo," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram