[VIDEO] Kes curi bateri kereta bukan kali pertama, elak parkir kawasan gelap di Batu Caves


  • Tular
  • Khamis, 24 Okt 2024

Tangkap layar seorang lelaki mencuri bateri kenderaan dalam sebuah tapak parkir di pasar raya dekat Batu Caves, Gombak, Selangor pada Selasa.

TINDAKAN seorang lelaki mencuri bateri kenderaan di sebuah tapak parkir di pasar raya dekat Batu Caves, Gombak, Selangor pada Selasa lalu mengundang amarah dalam kalangan warga maya.

Video kejadian juga turut dimuat naik laman Facebook, Asal Gombak sehari selepas kejadian bagi memberi amaran kepada orang awam untuk lebih berhati-hati di kawasan tersebut.

"Rakaman Selasa di tempat parkir pasar raya Batu Caves. Ada kejadian kes kecurian bateri kereta. Laporan polis telah pun dibuat, bagi sesiapa yang ada maklumat sila laporkan ke balai polis berdekatan.

BACA LAGI: Dari bayangan Bruce Lee ke layar perak, Saiful Zelwany turun ilmu seni pertahan diri buat Syafie Naswip

BACA LAGI: Dari halang barang kontraban ke dunia bola, CEO PDRM FC pernah dihimpit, terima ugutan penyeludup

"Nampak senang betul dia buat kerja curi bateri. Jadi...sentiasalah berhati-hati di mana jua anda tinggalkan kereta anda," tulis pentadbir laman Facebook tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna media sosial, Muhd Zainal mendakwa kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama terjadi.

"Bukan kali pertama terjadi, tak hairan pun dengan pasar raya Batu Caves ini. Ada pengawal pun tak macam ada pengawal.

"Bukan setakat bateri, kereta pun pernah hilang dalam kawasan parkir itu. Tolong jangan letakkan kenderaan anda di kawasan gelap atau tersembunyi," tulisnya.

Seorang lagi warga maya, Sitie Zuliha turut mendakwa kawasan di sekitar pasar raya tersebut tidak selamat.

"Banyak betul kes sudah berlaku, dah jadi 'kawasan panas'. Motosikal pun selalu hilang," katanya.

Sementara itu, pemilik akaun Facebook, Buluh menggesa agar pihak berkuasa lebih kerap membuat tinjauan di kawasan tersebut.

"Polis patut hari-hari memeriksa kawasan tersebut dan membuat tinjauan. Tak boleh dibiarkan pencuri-pencuri ini berleluasa," tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai terbabit dalam insiden tersebut pada pukul 11 pagi Khamis di Taman Sri Gombak.

Beliau berkata, turut dirampas dalam penangkapan itu adalah sebuah bateri kereta.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

Noor Ariffin sebelum itu berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun di Balai Polis Gombak pada pukul 1.32 pagi Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram