DEMAM jurulatih digugurkan daripada jawatannya bukan saja berlaku di kem Manchester United sahaja, malah saingan Liga Super juga dikejutkan dengan berita sama apabila seorang pengendali bakal mengucapkan selamat tinggal.
Perkembangan berkenaan dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di platform Twitter (X) miliknya pada Selasa, tanpa memberitahu siapa gerangan yang bakal mengikut jejak langkah Tomislav Steinbruckner dan Azzmi Aziz.
Setakat ini, Azzmi dari Negeri Sembilan FC dan pengendali Terengganu FC, Steinbruckner merupakan dua jurulatih awal yang disingkirkan selepas gagal menghidang prestasi konsisten pada saingan liga.
BACA LAGI: Gaji tak sangkut, cuma fans pelik kenapa Penang FC ‘toya’ berdepan kelab bernasib lebih malang
BACA LAGI: Gugurkan Rodrigo Dias berdepan Sabah talian hayat terakhir Akmal Rizal bersama Penang
"Jurulatih sebuah pasukan Liga Super bakal ucap selamat tinggal," kata Zulhelmi menerusi laman X miliknya.
Meskipun tiada petunjuk diberikan namun penyokong bola sepak tanah air sepakat bahawa pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli antara calon panas berkemungkinan akan meninggalkan jawatannya.
Masakan tidak, status Akmal Rizal yang kini sedang 'direhatkan' dan menyaksikan kelibat Pengarah Teknikal Penang FC, Merzagua Abderrazak yang mengendalikan perlawanan Harimau Kumbang menentang Sabah FC seolah-olah mengesahkan perkara itu.
Ura-ura mengatakan Abderrazak dikhabarkan akan mengambil alih tugas pengendali berusia 42 tahun itu selaku pengendali sementara sehingga pasukan Utara tanah air berkenaan bertemu pengganti sesuai.
Ada penyokong Selangor mahu Nidzam Jamil berundur. — Facebook/SelangorFC
Selain nama Akmal Rizal, pengendali Selangor FC iaitu Nidzam Jamil juga tidak ketinggalan menghiasi komen-komen hantaran tersebut susulan beberapa keputusan yang dicatat Gergasi Merah setakat ini.
Seperti baru-baru ini, Selangor tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, dan ia merupakan kekalahan kedua Gergasi Merah di tangan Harimau Selatan pada musim ini.
Gergasi Merah yang sudah beraksi lebih satu perlawanan dan berada di kedudukan kedua liga kekal dengan mengutip 26 mata, lapan mata ketinggalan di belakang pendahulu, Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram