PIHAK polis menahan dua individu pada Selasa selepas pertunjukan bunga api di kuil berubah menjadi letupan kuat sehinggakan sekitar 100 orang terlantar di hospital, lapan daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Sebuah video yang beredar di media sosial menunjukkan beratus-ratus orang berkerumun di kuil Anjootambalam Veerakavu, Neeleswaram, Kasaragod, India pada Isnin petang untuk menyaksikan pertunjukkan bunga api.
Kemudian, bunyi dentuman kuat didengari dari dalam bangunan sebelum sebuah bola api melambung tinggi ke udara.
BACA LAGI: Tangkas memanah guna busur tradisional, Muhammad Khalif hidupkan sunnah Rasulullah di zaman moden
"Kira-kira lapan orang berada dalam keadaan kritikal dan sekitar 154 dilaporkan mengalami kecederaan, dengan 97 orang dimasukkan ke hospital.
"Mereka meletupkan mercun sangat dekat dengan tempat mereka menyimpan mercun itu," kata ketua polis tempatan, Shilpa Dyavaiah.
Laporan media India, memetik pegawai berkata, kebakaran itu menyebabkan melecur pada muka dan tangan mereka yang berada dalam keadaan sesak.
Pegawai kerajaan tempatan, K. Inbasekhar berkata, acara pertunjukan bunga api itu dibuat tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
Susulan itu, presiden dan setiausaha kuil telah ditahan.
Untuk rekod, perhimpunan agama di India mempunyai rekod buruk mengenai insiden maut yang berpunca daripada kesilapan dari sudut keselamatan dan pengurusan.
Pada 2016, sekurang-kurangnya 112 orang terbunuh selepas letupan besar yang disebabkan oleh pertunjukan bunga api yang dibuat tanpa kebenaran di sebuah kuil yang menandakan tahun baharu Hindu.
India sedang bersiap untuk musim bunga api yang penting, iaitu sambutan tradisional bagi festival lampu Hindu, Diwali yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Perayaan yang meriah dan berwarna-warni itu dibuat menghormati dewi Hindu, Lakshmi dan melambangkan kemenangan cahaya ke atas kegelapan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram