Penyerang 'kaki kaca' Liverpool terlepas kunjungan ke Emirates


  • Podium
  • Sabtu, 26 Okt 2024

Liverpool kini berada di tangga teratas dalam saingan EPL musim 2024/2025.

PENYERANG Liverpool, Dioga Jota dijangka tidak diturunkan dalam perlawanan getir berjumpa pesaing terdekat Liga Perdana Inggeris (EPL) mereka iaitu Arsenal pada Isnin.

Perkembangan berkenaan didedahkan oleh pengendali The Reds, Arne Slot yang berkongsi bahawa pemain antarabangsa Portugal tersebut masih menerima rawatan dek kecederaan dialaminya pada Ahad.

Jota dikeluarkan selepas setengah jam perlawanan ketika menewaskan Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad lalu susulan dikasari Tosin Adarabioyo.

BACA LAGI: Legenda Man United mula beralih angin, pilih Liverpool tumbangkan Arsenal

BACA LAGI: Terlepas aksi Liverpool, Arsenal enggan kemuka rayuan layangan kad merah William Saliba

Selain itu, Jota juga terlepas aksi Liga Juara-Juara Liverpool di RB Leipzig pada Khamis yang menyaksikan The Reds menang 1-0 ke atas jagoan Bundesliga Jerman, RB Leipzig di Red Bull Arena Leipzig, Jerman.

Bukan hanya Jota, bek kanan Liverpool iaitu Conor Bradley juga berkemungkinan akan terlepas perlawanan menentang The Gunners.

“Proses pemulihan mereka sudah semakin baik tetapi untuk diturunkan dalam perlawanan hujung minggu ini adalah mustahil.

"Federico mungkin berlatih bersama kami hari ini (Jumaat) atau esok (Sabtu), Diogo pasti tidak dan tidak pasti lagi sama ada Conor Bradley boleh bersama kami esok,” katanya memetik laporan BBC.

Penjaga gol, Alisson Becker kekal diketepikan kerana kecederaan hamstring yang dialami dalam kemenangan di Crystal Palace pada 5 Oktober dan dijangka diketepikan sehingga pertengahan November.

WhatsApp Image 2024-10-26 at 01.00.20-2

Jota ketika mengerang kesakitan dalam aksi menentang Chelsea pada Ahad lalu.

Liverpool berada di tangga teratas dalam saingan liga dan mendahului empat mata berbanding Arsenal yang menghuni kedudukan di tempat ketiga.

“Pada peringkat awal kita belum ketahui siapa pesaing terbesar tetapi Arsenal sememangnya akan menjadi salah seorang daripada pesaing terhebat. Jadi kehilangan atau memenangi mata menentang mereka sentiasa penting.

"Sukar untuk memenangi perlawanan di tempat lawan di Arsenal, Manchester City atau pada semua perlawanan lain. Tetapi kami akan cuba meraih tiga mata nanti,” katanya yang akan berkunjung ke Stadium Emirates, London pada awal pagi Isnin (waktu Malaysia). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram