Pasrah alami ACL, 'The Engineer' Selangor mahu pulang lebih awal


  • Podium
  • Sabtu, 26 Okt 2024

Sebahagian sesi latihan skuad Gergasi Merah untuk menghadapi cabaran Harimau Selatan dalam saingan Liga Super 2024 pada Ahad.

MATA seluruh penyokong bola sepak tanah air akan tertumpu kepada pertembungan menarik dua pasukan gergasi tanah air, Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super 2024 pada Ahad.

Menjelang aksi yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor, salah seorang pemain Gergasi Merah dijangka terlepas untuk beraksi dalam perlawanan menarik tersebut.

Pemain berkenaan ialah tonggak tengah kelahiran Jordan, Noor Al-Rawabdeh yang kini tidak dapat bermain untuk tempoh panjang selepas mengalami kecederaan ligamen cruciate anterior (ACL) di lutut kanannya ketika pertembungan The Red Giant dengan PDRM FC 19 Oktober lalu.

BACA LAGI: 'Luka yang melukakan', skil Milunovic, kesilapan Shivan punca Perak FC biar Sang Penyu curi mata

BACA LAGI: Wajah Nafuzi tergambar rasa ralat Helang Merah cicirkan mata

Noor

Pemain tengah Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh.

Dalam pada itu, Al-Rawabdeh dilaporkan akan berehat panjang selama sembilan bulan untuk dia kembali pulih dan beraksi kembali di padang.

Meskipun reda dengan berita tersebut, Al-Rawabdeh yang berusia 27 tahun itu berharap dapat kembali beraksi lebih awal.

"Saya menerima kecederaan dan proses pemulihan ini, tetapi saya berharap ia tidak mengambil masa sembilan bulan. Saya benar-benar berharap ia lebih singkat.

"Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk pulih dan kembali ke pasukan sebelum sembilan bulan," katanya.

Sebagai seorang pemain bola sepak, kecederaan sememangnya tidak dapat dielakkan sepanjang kerjaya, tetapi Al-Rawabdeh menyatakan itu adalah kecederaannya yang terburuk setakat ini.

"Saya telah mengalami banyak kecederaan, tetapi ini adalah yang paling teruk. Saya berharap dapat bangkit semula dan dengan sokongan pasukan, saya akan kembali.

"Mereka seperti keluarga saya, begitu juga penyokong, sama ada di Malaysia atau di Jordan, sokongan mereka memotivasikan saya untuk kembali," jelasnya. — The Star/S.SAKTESH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram