TEKONG negara, Syahir Rosdi mempunyai pandangan berbeza mengenai konsep dan format baharu yang diperkenalkan dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 musim ini.
Seperti yang diketahui peminat sukan sepak takraw, STL musim ini menyaksikan pelaksanaan Grand Prix (GP) sebagai konsep dan format baharu.
Pelaksanaan format GP tersebut sempena sedekad kejohanan berkenaan menakluk arena sepak takraw tanah air.
BACA LAGI: Biar ada yang bangkang, bekas perejam negara optimis format GP ada kelebihan tersendiri
BACA LAGI: Format GP STL: Pengurusan kelab kena bijak — Mohsen
Dengan format tersebut, setiap pasukan perlu berkampung dalam lima venue perlawanan dengan jarak yang berbeza sepanjang kejohanan itu berlangsung antaranya GP Selangor, GP Terengganu, GP Perak, GP Penang dan GP Johor.
Melihat kepada perbezaan jarak tersebut, sudah pasti ia akan menjadi kesukaran untuk semua pasukan mengekalkan prestasi di gelanggang.
Berikutan kesukaran tersebut, terdapat beberapa pasukan yang menyuarakan pandangan peribadi mereka mengenai kekurangan format tersebut antaranya stamina pemain dan kos perbelanjaan yang dihadapi.
Menurut Syahir, pelaksanaan format GP dapat menilai pemain-pemain yang benar-benar cergas.
"Kita tahu format GP ini setiap minggu akan ada perlawanan, jadi memang ada semifinal dan final.
"Jadi pendapat saya, dengan adanya format GP ini, kita boleh nilai pemain-pemain yang betul-betul cergas sama ada dari segi stamina, kemahiran dan mentaliti mereka di atas gelanggang.
"Oleh itu, kita dapat melihat mana pemain yang cergas dan yang tidak kerana setiap minggu terdapat perlawanan.
"Dan kalau ada satu pasukan masuk final, mereka akan main sampai lima pelawanan,jadi pemain memerlukan stamina yang baik," katanya kepada Majoriti.
Tekong berbisa negara, Syahir Rosdi (kanan).
Syahir yang juga merupakan pemain utama Kuala Lumpur Thunder itu mendedahkan pandangan peribadinya mengenai format GP tersebut.
"Pendapat saya apa yang saya nampak untuk format GP ini, pemain cepat letih, lesu dan tidak cukup rehat.
"Jadi, pandangan saya, saya lebih prefer kejohanan liga sebab liga ada masa rehat yang panjang.
"Pemain mempunyai peluang untuk berehat sebab hanya dua atau tiga perlawanan sahaja yang berlangsung dalam seminggu.
"Tapi kalau format GP ini, kalau satu pasukan itu berjaya sampai ke final, mereka akan bermain lima perlawanan secara terus,jadi masa rehat memang kurang," jelasnya.
Walau bagaimanapun, Syahir yang merupakan pemain utama pasukan Lembah Klang itu menerima cabaran penganjuran STL ini.
"Saya memang lebih suka kejohanan liga, tetapi apabila STL memutuskan untuk menggunakan format ini, kami pasukan KL Thunder menganggapnya sebagai cabaran," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram