SEORANG wanita berusia 25 tahun sudah dipanggil pihak polis Singapura bagi membantu siasatan berikutan tular satu video di media sosial memaparkan seorang budak lelaki berdiri di pinggir tingkat tiga blok flat HDB di Canberra Road, Singapura sebelum diselamatkan oleh orang awam.
Difahamkan, kejadian yang berlaku pada Ahad itu menerima ribuan perkongsian di pelbagai platform yang menunjukkan seorang budak lelaki memakai baju tidur berada dalam keadaan mencemaskan itu.
Dalam video berdurasi satu minit 15 saat tersebut, kelihatan beberapa orang awam yang prihatin memegang selimut di tingkat bawah untuk menyambut budak itu sekiranya dia terjatuh.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak padan bawa motor, 3 remaja tekad bawa lari ampaian besar di Pasir Putih
BACA LAGI: [VIDEO] Neymar kembali 'menari' tapi ref Malaysia paling curi tumpuan
Kanak-kanak tersebut kemudian diselamatkan seorang lelaki yang secara perlahan-lahan menstabilkan dirinya di tembok dan mendekati budak itu sebelum diselamatkannya melalui tingkap terbuka.
Seorang saksi yang sempat merakam kejadian itu kemudiannya memuat naik video berkenaan itu di Facebook sambil menjelaskan beberapa penduduk mengetuk pintu rumah budak itu, tetapi tiada sesiapa menjawab.
Namun, lelaki yang menyelamatkan budak itu kemudian mendapati ada seorang wanita dewasa di dalam flat berkenaan.
Menjawab pertanyaan The Straits Times, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Singapura berkata, mereka dimaklumkan mengenai kejadian di Blok 350C Canberra Road pada kira-kira pukul 11.50 pagi.
Menurut polis, budak itu berjaya diselamatkan orang awam sebelum pegawai berkuasa tiba dan menahan seorang wanita berusia 25 tahun bagi membantu siasatan kes kecuaian.
Budak lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK untuk pemeriksaan susulan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram