Biar ada yang bangkang, bekas perejam negara optimis format GP ada kelebihan tersendiri


  • Podium
  • Isnin, 21 Okt 2024

Kuala Lumpur Thunder (kanan) mara ke separuh akhir selepas mudah menewaskan PDRM Defenders straight set. — STL

SEMPENA sedekad kejohanan sepak takraw menakluk arena tanah air, saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) musim ini memperkenalkan konsep dan format baharu, iaitu Grand Prix (GP).

Dalam format GP musim ini, lima venue yang akan menjadi tuan rumah adalah GP Selangor, GP Terengganu, GP Perak, GP Pulau Pinang, dan GP Johor.

Ini menunjukkan kepelbagaian lokasi dalam penganjuran format GP memberi peluang kepada lebih banyak peminat bola rotan itu untuk menyaksikan kejohanan tersebut.

BACA LAGI: Format GP STL: Pengurusan kelab kena bijak — Mohsen

BACA LAGI: Format GP menyukarkan, stamina pemain, jadual padat antara luahan pengurus STL Liga Premier

photo_6098363393338622513_y

Sebahagian aksi menarik yang ditampilkan oleh pemain ATM Guardians (jersi merah) dan Negeri Sembilan Antlers dalam saingan suku akhir GP Penang pada Sabtu. — STL

Perlawanan yang berterusan dan jadual padat akan menimbulkan kesukaran, termasuk kurangnya fokus dan faktor stamina, yang menjadi cabaran utama bagi semua pasukan sepanjang kejohanan.

Hal ini kerana, setiap pasukan akan berkampung di lima venue dengan jarak yang berbeza, menghadapi cabaran untuk menyesuaikan diri dengan sesi latihan yang terhad di gelanggang sendiri.

Susulan itu, terdapat beberapa pasukan yang menyuarakan pandangan peribadi mereka mengenai kekurangan format tersebut antaranya stamina pemain dan kos perbelanjaan yang dihadapi.

Begitupun, bekas perejam (killer) negara, Kamal Ishak mempunyai pandangan berbeza mengenai isu tersebut. Menurutnya, format tersebut sebenarnya memberi kelebihan kepada setiap pemain untuk mempamerkan prestasi sebenar.

photo_6098363393338622514_y

Johor Tigris gagal mara ke separuh akhir selepas dikecewakan oleh Terengganu Turtles pada Sabtu. — STL

“Pandangan saya, format GP yang diperkenalkan ini membuka peluang kepada pemain untuk lebih fokus selain memberi kelebihan buat setiap pasukan untuk mencuba pemain yang lain.

"Kalau kejohanan liga sebelum ini, kebanyakan jurulatih tidak mahu ambil risiko untuk menurunkan pemain yang jarang bermain disebabkan hanya akan berpeluang untuk bermain sekali sahaja dalam satu minggu.

"Tapi berbeza dengan format baharu ini, mereka boleh tukar pemain. Kiranya jurulatih boleh membuat banyak percaturan untuk menurunkan pemain yang terbaik dalam setiap perlawanan," katanya kepada Majoriti.

photo_6098363393338622510_y

Kamal Ishak (dua kiri) membuat libasan ketika menentang Filipina pada aksi sepak takraw beregu lelaki pada Sukan SEA 2017. — STL

Kamal yang juga merupakan bekas tonggak skuad senior sepak takraw negara dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan Sukan Asia di Indonesia 2018 itu bersetuju dengan format GP berkenaan.

Menurutnya, format GP itu memberi kelebihan kepada para pemain untuk sentiasa mengekalkan momentum di atas gelanggang.

“Sebelum ini kejohanan liga STL diadakan pada hujung minggu dan agak sukar sebenarnya untuk pemain mengekalkan prestasi mereka dari minggu ke minggu.

"Jadi, dengan adanya format GP ini, ia sebenarnya memberi peluang kepada setiap pemain untuk menampilkan prestasi sebenar mereka kerana mempunyai beberapa perlawanan untuk beraksi jika dibandingkan dengan kejohanan liga sebelum ini.

“Jadi, pada pandangan peribadi saya, saya lebih meminati format GP ini daripada kejohanan liga sebelum ini," ujarnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram