'Late bloomer', jangan jadikan atlet SUKIPT, MASUM mangsa keadaan


  • Podium
  • Ahad, 13 Okt 2024

Penganjuran SUKIPT dan MASUM membolehkan atlet meneruskan bakat mereka di peringkat universiti.

SEHINGGA hari ini, masih terdapat persepsi mengatakan atlet yang bersaing dalam kejohanan peringkat universiti tidak mempunyai masa depan cerah untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Ini kerana ramai beranggapan mereka lebih cenderung untuk memberi sepenuh tumpuan terhadap pembelajaran demi menggenggam segulung ijazah berbanding terus berada dalam dunia sukan yang tidak menjanjikan masa depan cerah.

Malah, ada juga pandangan mengatakan atlet yang pernah berentap dalam Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) akan 'dianaktirikan' pada tahun-tahun akan datang.

BACA LAGI: Bintang tae kwan do akui pendedahan terhad cabaran atlet SUKIPT, MASUM ke tahap lebih tinggi

BACA LAGI: Terperanjat pecah rekod, Olahragawan SUKIPT optimis sukan kayak ada masa depan

452847272_932323098927905_8487991612977628807_n

Nurul Azreena (kanan) mewakili negara dalam sukan memanah semasa temasya Olimpik 2024. MSN

Namun, tanggapan sedemikian sebenarnya tidaklah begitu tepat kerana berdasarkan pemerhatian setakat ini, atlet universiti pernah dipanggil mewakili negara dalam beberapa kejohanan.

Lihatlah sahaja semasa temasya Olimpik 2024 yang lalu apabila salah seorang atlet memanah, Nurul Azreena Mohamad Fazil meraih peluang berentap pada temasya berkenaan meskipun masih berstatus pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli turut menepis pandangan kononnya atlet di peringkat berkenaan tidak mempunyai masa depan dalam acara dipilih.

"Bukan bermaksud ia tidak berlaku, tetapi secara menyeluruh, bersandarkan kepada fakta pembabitan atlet IPT mewakili kontinjen negara ke temasya sukan serantau seperti Sukan SEA dan Sukan Olimpik, mereka yang terbaik dalam sukan-sukan tersebut jarang sekali dipinggirkan.

pekan

Pekan menjelaskan penglibatan atlet universiti ke peringkat lebih tinggi sudah semakin menggalakkan. Stadium Astro

"Secara konsisten jumlah atlet IPT yang mewakili negara pada temasya Sukan SEA biasanya melebihi 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kontinjen," katanya kepada Majoriti.

Fakta turut mengukuhkan pandangannya apabila semasa temasya Olimpik Tokyo, sembilan daripada 30 wakil negara merupakan atlet IPT dengan ia menjadi bukti kukuh mengenai penyertaan mereka dalam sukan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya lagi, masih terdapat beberapa cabaran bagi atlet universiti untuk mempamerkan bakat di tahap lebih tinggi dengan kebolehan mereka hanya akan dihidu selepas diberikan peluang.

"Wujud juga pertikaian dan isu berkaitan 'kemenjadian' atlet ini apabila mereka yang tidak berpeluang mewakili negara tiba-tiba cemerlang mewakili universiti Malaysia di temasya sukan peringkat universiti serantau dan dunia, barulah ia membuka mata persatuan sukan kebangsaan terhadap mereka.

WhatsApp-Image-2024-07-03-at-04.56.05

Penyertaan atlet universiti ke AUG mengilap bakat mereka dengan lebih baik.

"Jika isu ini tidak ditangani dengan baik, akhirnya atlet itu menjadi mangsa keadaan. Ini membabitkan beberapa buah persatuan sukan kebangsaan sahaja.

"Keadaan semakin positif sekarang dan banyak persatuan sukan kebangsaan mula mengintai kejohanan sukan peringkat IPT sebagai 'platform' mengesan bakal-bakal atlet negara," katanya lagi.

Kebanyakan atlet yang pernah bersaing dalam SUKIPT dan MASUM juga ditawarkan peluang ke peringkat lebih tinggi, seperti ketika penganjuran Sukan Universiti ASEAN (AUG) mahupun Sukan SEA.

Sekiranya peluang tersebut disambar dengan baik, tiada kemungkinan bakat mereka akan tenggelam dengan dunia sukan negara hanya akan meraih manfaat daripada lambakan pilihan dalam sesebuah acara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram