Nidzam Jamil rehatkan pemain sebelum layan kunjungan JDT


  • Podium
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Selangor bakal bertemu JDT di laman sendiri pada Ahad. — Facebook/SelangorFC

SESI pemulihan dan rehat yang mencukupi menjadi tumpuan Selangor menjelang pertembungan dengan penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi tumpuan Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat Kelana Jaya, Selangor pada Ahad.

Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil berkata, perhatian kini tertumpu kepada ketersediaan pemain untuk perlawanan menentang JDT selepas pasukannya menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors FC dari Korea Selatan dalam perlawanan Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada Rabu.

BACA LAGI: Selain Selangor, Syafiq Ahmad dan momen Bergson kena sepak jadi saksi JDT tundukkan pemenang ACL

BACA LAGI: Bidoglio optimis JDT bangkit usai dimalukan Gwangju, tak mustahil Selangor senasib Ulsan

“Kebimbangan saya adalah mengenai ketersediaan pemain keranan malam ini boleh nampak bukan kita saja, pasukan lawan (Jeonbuk) pun ada yang kejang dan cedera...jadi yang paling penting sekarang proses pemulihan pemain untuk beberapa hari ini.

“Kami akan cuba memberikan yang terbaik untuk perlawanan hujung minggu ini (menentang JDT),” katanya pada sidang media berikutan kemenangan 2-1 Selangor ke atas Jeonbuk pada Rabu.

Kemenangan pada Rabu berkenaan membolehkan skuad Gergasi Merah menduduki tempat teratas Kumpulan H dan mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri dalam semua pertandingan musim ini.

Harimau Selatan mendahului carta dengan 31 mata selepas 11 perlawanan manakala Selangor FC mengumpul 26 mata daripada 12 perlawanan.

Pertembungan Selangor dan JDT menjadi perlawanan tumpuan selepas kedua-dua pasukan ketika ini menduduki dua tempat teratas Liga Super dengan dipisahkan lima mata, namun JDT kurang satu perlawanan berbanding Selangor yang telah beraksi 12 perlawanan.

Ogos lepas, JDT membelasah Selangor 6-1 pada perlawanan akhir Piala FA musim ini yang berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil, di sini.

Kedua-dua pasukan dijadual bertemu dalam aksi pembukaan musim, perlawanan Sumbangsih Mei lepas namun aksi yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor itu dibatalkan susulan penarikan diri Selangor dan kemenangan walkover diberikan kepada JDT. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram