Selain Selangor, Syafiq Ahmad dan momen Bergson kena sepak jadi saksi JDT tundukkan pemenang ACL


  • Podium
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Hasil kemenangan 2-1 ke atas Jeonbuk, Gergasi Merah memimpin carta Kumpulan H dengan mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan. — Facebook/SelangorFC

SELANGOR membuktikan kualiti mereka tersendiri apabila mengejutkan gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai 2-1 dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat Kelana Jaya, Selangor pada Rabu.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad kendalian Nidzam Jamil itu berhasil meraih tiga mata menerusi jaringan kapten pasukan, Harith Haiqal pada minit ke-30 dan gol dari penyerang import Gergasi Merah, Ali Olwan.

Begitupun, kealpaan benteng pertahanan Gergasi Merah akhirnya memberi peluang kepada pasukan lawan untuk mencetak satu gol hasil tandukan Kwon Chang-hoon yang menerima hantaran lintang Jung Woo-jae pada minit ke-40.

BACA LAGI: Bukti masih sayang, bekas jurulatih serap 'roh' 2022, optimis JDT boleh jinakkan Gwangju

BACA LAGI: Manfaat dapat 'cuti rehat' liga, JDT bertolak awal ke Korea Selatan

Kejayaan mengutip tiga mata penuh ke atas bekas juara ACL 2006 dan 2016 itu sememangnya satu pencapaian luar biasa buat gergasi merah dan kini, Gergasi Merah memimpin carta Kumpulan H dengan mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan.

Selangor bukan pasukan pertama yang berjaya memalukan pemenang ACL susulan sebelum ini, pasukan elit tanah air iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) juga pernah mengejutkan kelab gergasi ACL.

1) Kashima Antlers

Johor Darul Ta'zim (JDT) mengejutkan dunia bola sepak Asia apabila menewaskan juara ACL 2018, Kashima Antlers 1-0 pada aksi Kumpulan E ACL di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dekat Larkin, Johor pada musim berikutnya.

Kashima Antlers yang juga wakil dari Jepun itu tewas apabila jaringan tunggal Syafiq Ahmad pada babak kedua sudah cukup memalukan pasukan dengan jolokan The Perrennial Winners tersebut.

Menariknya, dalam perlawanan berkenaan Benjamin Mora selaku pengendali JDT memberi kepercayaan kepada Syafiq mengemudi jentera serangan bagi menggantikan Diogo Luis Santo yang digantung satu perlawanan.

Jaringan itu sudah cukup memastikan JDT meraih tiga mata pertama dalam penampilan pertama kancah kelab-kelab elit Asia dan ia jelas antara momen membanggakan untuk skuad Harimau Selatan.

2) Guangzhou FC

Status JDT sebagai kelab kerdil dalam saingan ACL nyata menjadi senjata buat JDT untuk melakukan kejutan besar apabila berpesta gol membelasah kelab China, Guangzhou FC 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada 2022.

Hatrik daripada penyerang berbisa mereka iaitu Bergson Da Silva, satu jaringan dari Ramadhan Saifullah dan gol sendiri tonggak Guangzhou, Lipan He sudah cukup memberi derita kepada Guangzhou.

Pemenang ACL musim 2013 dan 2015 itu tidak memandang enteng kekalahan berkenaan apabila pihak pengurusan kelab mendenda ketua jurulatih serta pembantu jurulatih pasukan dengan memotong gaji mereka.

Selain itu, pemain pertahanan mereka iaitu Haojin Guan juga ditamatkan kontrak selepas insiden kad merah yang menimpanya kerana melakukan sepakan ke arah kepala penyerang JDT, Bergson.

3) Ulsan Hyundai

Pada saingan ACL 2022, JDT melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan I, yang menyaksikan mereka muncul juara kumpulan selepas menghimpun 13 mata daripada enam aksi.

JDT yang ketika itu berada di bawah bimbingan Benjamin Mora meraih kemenangan hasil jaringan Leandro Velazquez dan gol sendiri Park Yong-woo memberi Harimau Selatan kemenangan tipis di laman sendiri.

Kejayaan berkenaan menyaksikan JDT mara ke pusingan 16 buat pertama kali dalam sejarah penyertaan mereka dalam saingan tertinggi Asia itu.

Bukan sekali, malah JDT ketika di bawah kendalian Esteban Solari juga pernah menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 di SSI pada musim 2023 menerusi jaringan gol Heberty Fernandes dan Akhyar Rashid. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram