Tumpuan kepada Nafuzi, Akmal Rizal cetus peningkatan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Nafuzi (gambar kiri) dan Akmal kedua-duanya sedang berdepan tempoh sukar dalam mengendalikan pasukan masing-masing.

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

JARAK perjalanan berkereta di antara George Town dan Alor Setar hanya 115 kilometer (km) atau 1 jam 45 minit melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Di antara jarak tidak terlalu jauh itulah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Nafuzi Zain akan beradu nasib bersama pasukan masing-masing pada malam nanti.

Nilai ‘pertaruhan’ kedua-duanya juga tidak sama. Kekalahan ketika melayani kunjungan Sabah FC ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang mungkin bermakna ia perlawanan terakhir Akmal Rizal mengendalikan Penang FC manakala bagi Nafuzi, sebarang mata yang tercicir akan menyukarkan lagi usaha memperbaiki kedudukan dari tangga ke-10 ketika ini.

BACA LAGI: Terlalu banyak kerja dalam masa semakin suntuk buat Akmal Rizal

BACA LAGI: Akmal Rizal mungkin direhatkan, nama legenda diseru jadi pengendali interim Harimau Kumbang

464279715_585443197170195_53518138518823937_n

Nafuzi (kiri) ketika sesi latihan persediaan pasukannya yang akan menentang PDRM FC dalam aksi Liga Super pada Jumaat. — KDA FC

Untuk Nafuzi terus memotivasikan pasukan dalam keadaan pemain-pemainnya ketiadaan wang dan terpaksa terus berhutang – seorang pemainnya mendakwa skuad Hijau Kuning kini mengalami isu tunggakan gaji selama tujuh bulan – tentunya ia bukan mudah buat mana-mana jurulatih.

Mujur buatnya kerana pemain-pemain sanggup mengetepikan seketika masalah peribadi mereka untuk mengutip empat mata daripada dua perlawanan terdahulu – mengalahkan Terengganu FC 1-0 pada 19 Okt dan seri 2-2 dengan Sri Pahang FC pada 20 September, kedua-duanya di Alor Setar.

Apa yang berbeza, jurulatih yang akan menyambut hari jadinya yang ke-46 Ahad ini, tidak boleh berasa sedap hati bahawa pemain-pemainnya akan terus menyerlahkan semangat juang tinggi ketika tunggakan gaji mereka belum dilunaskan.

Baru semalam, seorang lagi tonggak skuad Sang Kenari, Amirul Hisyam Awang Kechik, meluahkan kekecewaan terhadap isu yang seperti tidak berpenghujung itu.

“Setiap kegembiraan di dalam padang, orang boleh nampak tapi kesulitan di luar padang hanya kami yang tahu. Sampai bila nak jalan? Risau takut rebah sahaja ni," tulisnya di laman Instagram miliknya sebagai menyertai hampir kesemua pemain yang sudah lebih dahulu meluahkan kekecewaan mereka.

464310135_584801107234404_2627572967908707879_n

Amirul Hisyam ketika sesi latihan bersama pasukan KDA FC. — KDA FC

Selepas kejayaan terbaru menundukkan Terengganu FC hampir seminggu lalu, tiada lagi laporan pemain-pemain memboikot latihan – selepas dua kali mereka berbuat demikian sebelumnya – tapi Nafuzi hanya mampu mengharapkan yang terbaik tanpa apa-apa upaya untuk menuntut lebih dari itu.

“Setiap hari kita berlatih, pemain ada bersama saya. Itu adalah kesyukuran buat saya berbanding dengan perkara lain. Untuk malam ini (perlawanan bertemu Terengganu), pemain ada dengan saya.

Untuk perlawanan seterusnya, saya tidak tahu pemain ada atau tiada,” katanya selepas perlawanan Sabtu lalu.

Hakikat bahawa KDA FC akan berdepan dengan PDRM FC – pasukan yang berada lima takuk di atas mereka di tangga kelima – tidak memudahkan keadaan.

Tiga perlawanan terakhir skuad Sang Saka biru itu – menundukkan Sabah FC 1-0 (21 September), seri 1-1 dengan Terengganu FC (4 Oktober) dan seri 1-1 dengan Selangor FC (19 Oktober) – menyerlahkan kekentalan semangat barisan kendalian P. Maniam itu.

Ia akan menuntut ‘magis’ daripada Nafuzi untuk memuncakkan daya melawan pemain-pemainnya yang semakin dijauhi penyokong di Stadium Darul Aman – hanya 3,281 orang ketika menentang Terengganu FC dan 1,285 orang sewaktu berdepan Sri Pahang.

Terbaru, dilaporkan bahawa KDA FC telah menerima tajaan RM300,000 daripada seorang penyumbang, Datuk Royfaizal Razali Chong.

“Secara peribadi, saya tahu RM300,000 tak mampu untuk menyelesaikan semua masalah yang ada tetapi saya percaya ia mampu untuk mengurangkan sedikit sambil berdoa ada lagi penaja yang tampil ke depan,” katanya di laman Facebook.

Mungkin suntikan dana itu yang datang pada waktu paling bertepatan adalah dorongan semangat buat pemain-pemain KDA FC meneruskan peningkatan.

Di pihak Penang FC pula, wujud kekeliruan ketika ini siapa yang bertanggungjawab terhadap pasukan. Sambil ada laporan menyatakan Akmal masih meneruskan tugas ketua jurulatih, ada laporan lain menyebut Pengarah Teknikal, Merzagua Abderrazak, akan memangku tugas itu bermula malam ini.

“Difahamkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli telah ‘direhatkan’ daripada tugas ketua jurulatih skuad Liga Super Penang,” tulis wartawan Astro Arena, Fadhirul Suhaimi di laman X.

“Tugas Akmal digalas oleh Merzagua buat seketika,” tambahnya dengan membayangkan Akmal akan kembali menyertai barisan kejurulatihan pasukan B-23 Penang FC pada Disember nanti.

461659007_1092779235696063_5564078060067714303_n

Skuad Penang FC bakal beraksi pada Jumaat tanpa Akmal yang dilapor sedang 'direhatkan' daripada memikul tugas sebagai ketua jurulatih. — Penang FC

Ini diperkuatkan lagi dengan satu laporan semalam yang memetik penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Azman, sebagai berkata skuad Harimau Kumbang itu perlu cepat menyesuaikan diri dengan tuntutan dan strategi diterapkan Merzagua selepas Akmal direhatkan.

“Sebagai pemain, kami faham dengan situasi sekarang dengan ketiadaan Coach Akmal dan (peranan itu) diambil alih oleh pengarah teknikal, Encik Merzagua. Jadi, dalam persediaan beberapa hari ini, kami sebagai pemain kena adaptasi dengan lebih cepat,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew, kelmarin mengesahkan kehadiran Akmal dalam aksi menentang Sabah FC dengan kenyataan ringkasnya: "Ya (ada) sehingga pengumuman lanjut (dikeluarkan)."

Tiada pengesahan rasmi daripada pihak Penang FC setakat ini bermakna penyokong harus menanti untuk melihat siapa yang akan berada di tepi padang malam ini untuk mendapatkan kepastian.

Siapa pun yang dipertanggungjawabkan tidak akan mendapat laluan mudah daripada Sabah FC – pasukan yang sedang memuncak di tangga keempat – pada ketika semakin kurang keriuhan penonton di Stadium Bandaraya dengan hanya 1,492 orang menghadiri perlawanan terakhir menentang Sri Pahang FC, Ahad lalu.

Nasib Akmal mungkin sudah ditentukan tapi tiga mata yang dicari-cari – jika dia masih mengendalikan pasukan seperti kata Chew – akan menjadi buah tangan perpisahan terbaik yang boleh diharapkannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram