Akmal Rizal mungkin direhatkan, nama legenda diseru jadi pengendali interim Harimau Kumbang


  • Podium
  • Isnin, 21 Okt 2024

Prestasi Penang masih belum berada di tahap memuaskan sejak Akmal Rizal (tengah) mengendalikan Harimau Kumbang pada awal musim ini. — Facebook/PenangFC

PENANG FC tampaknya menjadi pasukan ketiga Liga Super musim ini yang bakal kehilangan ketua jurulatih mereka apabila ada ura-ura mengatakan Akmal Rizal Ahmad Rakhli akan direhatkan dalam masa terdekat ini.

Belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak pengurusan Penang FC namun spekulasi mula bertebaran apabila Pengerusi Lembaga Pengarah Penang FC, Daniel Gooi Zi Sei memaklumkan mengenai Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) yang dijangka diadakan pada Isnin.

Selepas kekalahan Harimau Kumbang di tangan Sri Pahang dengan keputusan 0-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya dekat George Town, Pulau Pinang, Daniel Gooi memuat naik hantaran mengenai tindakan segera akan diambil susulan masalah prestasi pasukan itu.

BACA LAGI: Gaji tak sangkut, cuma fans pelik kenapa Penang FC ‘toya’ berdepan kelab bernasib lebih malang

BACA LAGI: Faisal Halim sokong 'dari jauh', luang masa tonton aksi Penang BP

"Esok (Isnin) mesyuarat BOD (Lembaga Pengarah) Penang Football Club. Tindakan akan diambil. #HariaPenangHaria," katanya pada hantaran yang dimuat naik pada Ahad.

Meskipun sebarang intipati dari mesyuarat berkenaan belum diumumkan, namun rata-ratanya penyokong Harimau Kumbang sudah membayangkan beberapa nama yang boleh mengisi posisi Akmal Rizal sebagai pengendali interim termasuk legenda Penang, Merzagua Abderrazak.

Merzagua yang pernah mencipta nama sebagai hero ketika Pulau Pinang mendakap kejuaraan Liga Perdana Satu pada 1998 kini memegang jawatan sebagai Pengarah Teknikal baharu bagi memantapkan persiapan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim ini.

Selain itu, pengendali berusia 57 tahun itu juga sebenarnya pernah kembali sebagai jurulatih pada musim 2012 sehingga muncul juara Piala FAM seterusnya layak beraksi di Liga Perdana pada 2014.

Namun disebabkan masalah lesen kejurulatihan, beliau terpaksa kembali ke negara asal untuk mendapatkan lesen 'Sijil A'.

"Harap bagi peluang Merzagua baik pulih pasukan baki siangan pusingan kedua nanti, rehatkan dulu Akmal. Merugikan ketika jendela perpindahan tidak membaiki pasukan sebaik mungkin. Umpama sudah berpuas hati dengan apa yang ada tetapi makin merudum," kata penyokong Penang, Yunizam Yunz.

"Silap-silap Merzagua yang ambil alih sebab Penang suka pusing jurulatih, kejap Manzoor (Azwira), kejap Akmal. Dari awal musim dah suruh ambil jurulatih luar," pendapat penyokong Penang, Reza Al.

"Jurulatih Akmal Rizal belum layak urus pasukan Liga Super, cari jurulatih macam Bojan Hodak dan Aidil Sharin. Pemain pun tiada kualiti, sekadar boleh main bola tapi pasukan menjadi," cadang penyokong Penang, Fazli Wahab.

Prestasi yoyo Penang di bawah kendalian Akmal Rizal mula dipersoal selepas mereka masih tidak mencatatkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir apabila hanya merekodkan dua seri dan selebihnya tewas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram