PEMPENGARUH media sosial kini dilihat sebagai antara peranan penting dalam memberi kesedaran atau sesuatu maklumat kepada masyarakat dalam pelbagai cara.
Mereka yang sering dikenali sebagai pencipta kandungan juga berkemampuan menjadi penghibur relevan di media sosial.
Masakan tidak, lihat saja kemunculan pempengaruh bak cendawan tumbuh selepas hujan di Malaysia sekarang.
Pempengaruh atau pencipta kandungan kini menjadi antara kerjaya pilihan masyarakat di Malaysia. — Gambar hiasan/Agensi
Antaranya yang menempah nama sehingga ke industri seni sebagai pelakon adalah Mohd Iqbal atau nama popularnya CEO Batu.
Bermula mencipta kandungan-kandungan santai di TikTok ketika pandemik Covid-19 melanda, CEO Batu mendapat ilham untuk mengisi masa lapangnya dengan membuat video.
Disebabkan penampilannya yang terlalu santai dengan hanya memakai kain pelikat di dalam setiap videonya itu juga membuatkannya lebih dikenali ramai.
Katanya, cara pemakaiannya itu merupakan identiti dirinya agar tidak sama dengan pempengaruh lain.
Imej kain pelikat yang mahu dikekalkan CEO Batu.
"Saya dapat idea untuk berkain pelikat itu sebab nak beri kelainan sedikit dan memandangkan saya orang kampung, jadi imej itu pun sangat sesuai.
"Tetapi imej itu saya bawa bukan di semua tempat dan tengok situasi atau majlis juga. Kalau ada majlis yang tetapkan syarat untuk pakai pakaian formal, jadi saya ikut," katanya kepada Majoriti.
Bukan itu sahaja, nama gelarannya juga mempunyai maksud di sebaliknya iaitu diambil sempena kerjayanya sebagai seorang kontraktor bangunan yang menggunakan bahan asas batu dan simen.
Anak jati Kedah itu juga memberitahu bahawa sering mencipta dan menghasilkan alat-alat gimnasium untuk bersenam yang diperbuat daripada bahan-bahan pembinaan seperti simen, besi dan kayu.
Menurutnya, idea-idea tersebut juga ditonjolkan melalui video dan pada masa sama bertujuan untuk mendidik serta membantu masyarakat menjana pendapatan.
"Waktu saya mulakan video itu pula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi semua orang tak boleh keluar dan ramai berniaga secara dalam talian.
"Jadi, video-video saya berkenaan cara hasilkan barangan tersebut sebenarnya secara tidak langsung dapat beri idea untuk mereka berniaga juga.
"Saya hasilkan barang seperti dumbbell dan alat senaman lain pun guna bahan-bahan yang ada di rumah sahaja, tak perlu kos tinggi.
"Ada juga satu masa itu, saya buatkan rehal (tempat letak al-Quran) daripada kayu depan rumah dan saya beri pada keluarga," katanya.
CEO Batu bagaimanapun tidak terlintas untuk membuka perniagaan sendiri setakat ini meskipun mempunyai kepakaran tersebut kerana mahu fokus kepada pekerjaan hakikinya sebagai kontraktor di bawah syarikat dan pencipta kandungan.
Dia yang juga masih berstatus solo dan belum mendirikan rumah tangga itu juga menjelaskan bahawa kerap melakukan aktiviti jelajah menaiki motosikal.
CEO Batu (kiri) yang kini menjadi antara duta rasmi PDRM FC. — Suria FM
Katanya, hampir seluruh Malaysia sudah dijelajah kecuali Sabah dan Sarawak dengan menunggang motosikalnya bersama beberapa lagi rakan pempengaruh lain.
"Selain buat konten lawak, saya juga ada buat video ride pergi jelajah tempat-tempat menarik di Malaysia, tetapi belum sampai lagi ke luar negara.
"Banyak pengalaman saya dapat seperti ada kejadian tak diingini berlaku, saya jatuh, kemalangan, tayar pancit dan sebagainya.
"Tetapi saya seronok sebab dapat jumpa lokasi-lokasi yang rakyat Malaysia sendiri tak tahu ia wujud," jelasnya.
CEO Batu yang kini dilantik sebagai antara barisan duta rasmi buat pasukan bola sepak tempatan, PDRM FC pada 16 Oktober lalu itu juga berharap dengan statusnya kini dapat menaikkan imej sebagai pempengaruh dan pencipta kandungan dalam kalangan masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram