TELATAH dan gelagat comel seorang penyokong cilik dalam satu video di media sosial sempat mencuri tumpuan peminat tanah air.
Video yang dikongsikan di laman rasmi Instagram Liga Sepak Takraw (STL) itu menunjukkan seorang penyokong cilik sedang menunggu giliran untuk bertemu dengan pemain kesayangan mereka.
Dalam video tersebut, kanak-kanak lelaki yang berada di kantin sebuah sekolah itu turut mengatakan impiannya untuk berjumpa dengan pemain kesayangannya.
BACA LAGI: 'Jangan terlalu awal kritik Penang Black Panthers, berilah peluang pemain muda'
Menurutnya, dia amat meminati tekong utama negara iaitu Syahir Rosdi.
"Impian saya nak jumpa dengan Syahir Rosdi," katanya dalam video tersebut.
Manis lagi perkongsian video tersebut, impian peminat cilik itu berjumpa dengan Syahir tercapai dan dia dilihat tidak melepaskan peluang untuk bersalaman.
Menariknya lagi, peminat cilik itu enggan mencuci tangannya selama sebulan selepas bersalam dengan tekong utama negara berkenaan.
"Saya tak akan cuci tangan selama sebulan," katanya lagi yang dilihat teruja dapat bersalam dengan idolanya itu.
Selain Syahir, peminat cilik itu turut berpeluang untuk bertemu dan bersalaman dengan perejam negara, Azlan Alias. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram