Kuasa media sosial, nasib Cikgu Din di Sarawak akhirnya dapat perhatian KPM, diberi cuti jaga isteri sakit kanser dekat Kelantan


  • Primer
  • Khamis, 24 Okt 2024

Beberapa keping surat sudah dihantar guru berkenaan bagi memudahkan urusan perpindahan lokasi tugasannya. — Facebook/Harima Abd Rahman

KUASA media sosial akhirnya berjaya membantu Cikgu Din yang bertugas di Sarawak untuk pulang ke Semenanjung bagi menjaga isterinya yang menghidap kanser di Kota Bharu, Kelantan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu kenyataan meluahkan rasa prihatin mengenai situasi guru lelaki yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isteri seperti tular di media sosial sejak Rabu.

Katanya, KPM akan mengambil tindakan segera memberi bantuan kepada guru berkenaan termasuk diberikan cuti untuk berada bersama isterinya.

BACA LAGI: 'Isteri yang sakit, bukan awak', rakan guru sedih pihak atasan tolak permohonan Cikgu Din tukar sekolah jaga pasangan sakit kanser

BACA LAGI: Dari halang barang kontraban ke dunia bola, CEO PDRM FC pernah dihimpit, terima ugutan penyeludup

"Satu pertemuan dengan beliau akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit.

"KPM mendoakan kesembuhan isteri guru berkenaan dan akan memastikan kebajikan beliau dan keluarga terpelihara," kata kenyataan itu pada Khamis.

Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang pengguna Facebook, Harima Abd Rahman membuat satu hantaran berkongsi kisah Cikgu Din mengalami cabaran dalam hidupnya selepas permintaannya untuk berpindah tidak diluluskan KPM.

Cikgu Din atau nama sebenarnya Izzuddin Izhar membuat permohonan tersebut kerana mahu berada di samping isterinya yang menghidap kanser dan sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital sekitar Kelantan.

"Kena kanser ni kena kuat mental tu satu hal. Tetapi, kesan sampingan rawatan tu satu hal lain pula, belum tentu orang boleh hadap. Jadi, Cikgu Din buat keputusan untuk ulang alik dari Sarawak balik ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu.

"Ini dibuat semata-mata untuk teman dan beri semangat buat isteri yang tersayang. Duit, masa dan tenaga, semua perlu dikorbankan. Sampaikan kawan saya terpaksa minta cuti tanpa gaji sebab semua cuti dah diambil," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram