JDT kononnya simpan pemain demi lawan Selangor hanya usikan media sosial — Pemerhati


  • Podium
  • Rabu, 23 Okt 2024

Bergson (kanan) hanya beraksi selama 12 minit dalam perlawanan bertemu Gwangju pada Selasa. — Facebook/JDT

REKOD tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) akhirnya lebur di tangan Gwangju FC selepas Harimau Selatan tewas 1-3 di Stadium Yongin Mireu, Yongin, Korea Selatan pada Selasa.

Harimau Selatan kini berada pada kedudukan ketiga liga dengan mengutip empat mata hasil hasil keputusan seri menentang Shanghai Port dan menang ke atas Shanghai Shenhua dalam dua aksi sebelum ini.

Kekalahan pertama pada saingan ACLE musim 2024/2025 itu secara tidak langsung menjemput penyokong bola sepak tanah air untuk menimbulkan pelbagai spekulasi dan dakwaan kurang enak mengenai Harimau Selatan.

BACA LAGI: Prospek JDT II sertai 'awayday' ke Korea, ramai tunggu lampu hijau debut skuad senior

BACA LAGI: Di sebalik kesilapan Feroz, hujan lebat rencat tempo permainan JDT sebelum dimalukan Gwangju

Antara yang mencuri perhatian apabila ada sesetengah penyokong domestik mendakwa JDT senjaga menyimpan pemain utama seperti Bergson da Silva, Heberty dan Jese Rodriguez untuk perlawanan menentang Selangor FC hujung minggu ini.

Selepas ini, JDT dijadualkan berdepan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dekat Kelana Jaya, Selangor pada Ahad (27 Oktober).

Komen-komen kurang enak itu hadir apabila ada penyokong mempersoalkan taktikal Bidiglio yang menurunkan ketiga-tiga mereka pada separuh masa kedua perlawanan, usai JDT ketinggalan 1-2.

Bagi penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustafa, istilah JDT sengaja menyimpan pemain untuk aksi Liga Super menentang Selangor hanya usikan manja daripada penyokong dek kedudukan kedua-dua pasukan berkenaan sebagai pesaing utama.

"Bagi saya itu semuanya bergantung kepada perancangan pihak pengurusan jika mahu menyimpan pemain. Liga di Malaysia ini bukan isu besar bagi mereka, jadi saya rasa itu semua hanya mainan di media sosial.

"Permainan di media sosial ini seronok dibaca tetapi kita tidak memahami taktikal perlawanan yang nak dibuat oleh mereka. Visi yang dibuat oleh JDT adalah untuk menjadi pesaing utama dalam ACLE terpilih, liga domestik bukan visi utama.

"Semua benda ini hanya usikan media sosial adalah sengaja, mungkin hanya untuk memeriahkan sebelum perlawanan Ahad ini," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Mohd Sadek melihat jurulatih Gwangju FC iaitu Lee Jung-hyo sudah menyelidiki corak permainan Harimau Selatan dengan baik sehingga berhasil mengekang JDT daripada melakukan serangan.

DALDAM DALDAM

Kesebelasan utama JDT dan Gwangju dalam aksi ACLE pada Rabu. — Facebook/JDT

Antara yang boleh dilihat apabila pemain pasukan berkenaan berhasil merantai Arif Aiman Hanapi di bahagian sayap dan mengekang perancangan utama di jentera tengah Harimau Selatan.

"Mereka berhasil mengekang perancangan utama di bahagian tengah JDT untuk melakukan taktikal. Mereka juga sebenarnya merantai Arif Aiman dan penyerang utama JDT untuk permainan mereka. Gwangju berjaya mengekang daripada JDT bermain permainan mereka.

"Kita tak nampak kelancaran dalam JDT membuat serangan dan cubaan tepat. Maksudnya mereka dah baca awal macam mana JDT ini bermain. Bagaimanapun, ia satu proses pembelajaran yang perlu diambil oleh setiap pemain JDT untuk menjadi lebih berjaya di masa akan datang," tambahnya.

Pasukan Selatan tanah air itu selepas ini akan menanti satu lagi kelab Korea Selatan iaitu Ulsan HD FC, kendalian bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada 5 November depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram