Pelajar perempuan parah dirempuh lelaki sakit mental dekat sekolah di Manjung


  • 112
  • Khamis, 24 Okt 2024

Mangsa kini dirawat di Hospital Seri Manjung susulan kecederaan dialaminya.

SEORANG pelajar perempuan cedera selepas dirempuh kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai mengalami sakit mental dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Taman Bintang, Manjung, Perak, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, akibat kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 13 tahun mengalami kecederaan di kaki kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.

BACA LAGI: Polis buru 4 lelaki bantu kes dakwaan anak Abuya dikurung di Batu Hampar

BACA LAGI: Sahkan tiada aktiviti letupan kuari, Polis Perak siasat punca sebenar bunyi dentuman kuat di Ipoh

“Lelaki berusia 47 tahun yang memandu kereta berwarna putih itu, merempuh pagar sebuah gelanggang bola keranjang, merosakkannya, sebelum menuju ke arah bangunan sekolah.

"Dia kemudian memandu ke arah dewan sekolah, di mana sekumpulan pelajar sedang berlatih bola tampar, dan merempuh mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis

Polis Manjung mengesahkan mengalami kecederaan di kaki kiri susulan rempuhan berkenaan.

Hasbullah mengesahkan lelaki yang berstatus penganggur berkenaan ditahan kira-kira pukul 6.30 petang hari yang sama.

"Suspek telah dirujuk ke hospital untuk rawatan, kerana didapati tidak stabil mental. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” tambahnya.

Beliau menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 011-1624 0391 atau balai polis daerah di talian 05-688 6222 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram