JOHOR Darul Ta'zim (JDT) dikenali sebagai kelab yang banyak menghasilkan para pemain berkualiti dengan hasil tuaian akademi mereka kini sudah mula mencipta nama pada saingan Liga Super.
Feroz Baharudin, Ramadhan Saifullah, Daryl Sham George, Ahmad Aysar Hadi dan bintang sensasi Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi antara contoh produk Akademi JDT yang berhasil memasuki pasaran Liga Malaysia (Liga M).
Kini giliran pemain generasi terbaharu Akademi JDT seperti G. Pavithran pula mula mencuri tumpuan penyokong domestik dengan dia dilabel sebagai bintang dalam pembikinan Harimau Selatan.
BACA LAGI: Bukti masih sayang, bekas jurulatih serap 'roh' 2022, optimis JDT boleh jinakkan Gwangju
BACA LAGI: Bergson calon terbaik, gandingan berbisa Arif Aiman ketika lawan Gwangju
Pavithran mula diperhatikan apabila menunjukkan aksi mengagumkan pada pramusim di Sepanyol, yang menyaksikan pemain itu mencetak satu gol untuk membuktikan kualiti ubi Akademi JDT boleh bersaing dengan tonggak import.
Sebelum beraksi di saingan Piala MFL bersama skuad simpanan JDT pada musim ini, pemain berusia 19 tahun berkenaan merupakan watak utama yang membantu skuad JDT IV menjadi naib johan Piala Belia 2023.
Selain berhasil meraih kepercayaan beraksi bersama JDT II, Pavithran juga mendapat peluang ke Korea Selatan bersama skuad kendalian Hector Bidoglio bagi perlawanan Harimau Selatan menentang Gwangju FC bagi saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Kelibat pemain yang dikatakan mirip legenda Harimau Selatan, S. Kunanlan itu menggembirakan penyokong JDT dengan mereka berharap agar Pavithran segera mendapat peluang melakukan debut bersama skuad senior.
Pavithran dilihat berangkat ke Korea Selatan bersama skuad senior. — Facebook/JDT
"Bila nak lampu hijau ini. Dengan penuh kesabaran menunggu Pavi (Pavithran) debut di skuad senior," kata penyokong Harimau Selatan, Freddy Houston.
"Ini lah visi sebenar untuk lahirkan pemain tempatan berkualiti. Pendedahan kepada latihan yang betul dan berada dalam lingkungan pemain-pemain senior terbaik," pendapat penyokong JDT, Iwan Kenichiwa.
"Pavi menunjukkan dia semakin matang dalam permainannya. Kalau dapat peluang lepas ini main untuk JDT, Pavi bagi persembahan yang baik," kata penyokong Harimau Selatan, Azizi Supardi.
Kebarangkalian untuk menyaksikan Pavithran debut menentang Gwangju FC agak sukar susulan JDT berhasrat ingin dinobatkan sebagai pemenang perlawanan untuk menjadi pendahulu carta ACLE bagi zon Timur.
Perlawanan ketiga Harimau Selatan bagaimanapun tidak semudah yang dijangka apabila wakil Korea Selatan itu akan tiba dengan mentaliti untuk meneruskan rentak kemenangan mereka selepas berhasil memungut tiga mata dalam dua aksi sebelumnya.
Manakala, Harimau Selatan yang kini berada pada kedudukan kedua dengan empat mata hasil keputusan seri menentang Shanghai Port dan menang ke atas Shanghai Shenhua pula berpeluang untuk menjadi pendahulu Kumpulan A jika berhasil menewaskan Gwangju. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram