PELARI pecut muda negara, Muhammad Fiross Mohd Faizal tidak berhasil meraih pingat emas dalam penampilan terakhirnya bagi Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Stadium Ipoh dekat Ipoh, Perak pada Isnin.
Muhammad Fiross yang sekadar meraih pingat perak dalam acara kegemarannya iaitu 110 meter (m) Bawah 18 tahun (B-18) berpagar tampak sukar mengekal rentak lariannya kerana kasutnya koyak ketika larian 100m pada Ahad.
Keadaan kasut tersebut jelas menggugat keselesaan atlet kontinjen Putrajaya itu untuk berlari, sekali gus merencatkan misinya untuk meraih podium tertinggi dalam kejohanan tersebut.
BACA LAGI: Pemilik kelab bola Pantai Timur digari, bakal ke penjara gara-gara gagal bayar gaji
"Mungkin saya berehat terlampau lama jadi momentum tersebut sedikit lari, namun sebenarnya tiada masalah. Tekanan dan banyak perlanggaran dengan pagar jadi antara punca.
"Material kasut ini memang senang koyak dan tidak tahan lama. Sepatutnya saya perlu mengasingkan kasut untuk pertandingan dan latihan," katanya memetik laporan Stadium Astro pada Isnin.
Sementara itu, ibunya iaitu Dazlina Deena Salihin berharap ada yang sudi memberi bantuan buat anaknya supaya mendapatkan sokongan terbaik ketika menjadi bakat besar mengharumkan arena olahraga negara.
"Kami pun golongan marhaen jadi apa yang ada kami pakai sahaja. Fiross pun okay saja nak pakai apa yang ada. Tetapi jika diberi bantuan, Alhamdulillah. Sokongan dari Majlis Sukan Negeri dan Majlis Sukan Malaysia amat diharapkan," ulasnya.
Dalam pada itu, Harith Haikal yang mewakili kontinjen Johor muncul pelari terpantas acara 110 meter lari berpagar MSSM 2024 selepas menewaskan Muhammad Fiross dalam perlumbaan akhir itu.
Catatan 13.24 saat menjadi bukti kejayaannya mengungguli saingan akhir seterusnya membutirkan kilauan pingat emas buat MSS Johor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram