[VIDEO] Buku teks Sejarah dijadikan komik, Azrin Ahmad bijak tarik minat pelajar dapat 'result' cemerlang


Azrin Ahmad megeluarkan buku bertajuk Komik Sejarah KSSM Tingkatan 4 yang mula dijual sejak Ogos 2022.

SEORANG lelaki, Azrin Ahmad kreatif menginovasi silibus buku teks sejarah menjadi sebuah komik yang mengekalkan jalan penceritaan yang sama dalam subjek sejarah Tingkatan Empat.

Kejayaan Azrin membuktikan bahawa pendidikan tidak semestinya bersifat kaku dan membosankan, tetapi kandungan buku teks yang formal dan padat dapat menjadi sesuatu yang lebih menarik melalui penceritaan dalam versi yang lebih santai seperti komik.

Inovasi dalam subjek Sejarah yang dibuatnya itu juga menjadi impak besar kepada generasi muda yang sekali gus menjadi inspirasi buat warga pendidik, ibu bapa dan pelajar di luar sana.

BACA LAGI: Pernah hampir lemas, jurufoto wanita bertahun-tahun elak laut angkara fobia sebelum kembali mencipta nama

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sherpa bukan sekadar pandu arah, kami adalah perintis', Nima Rinji jadi individu termuda tawan 14 puncak tertinggi di dunia

- 1

Komik Sejarah KSSM Tingkatan 4 yang dihasilkan oleh Azrin Ahmad.

Buktinya, wujud segelintir pelajar yang menggunakan komiknya mendedahkan sudah berjaya memperoleh keputusan yang memberangsangkan.

Menceritakan peristiwa itu, Azrin berkata, rata-rata pembeli memberi tindak balas yang baik setelah membaca komik berkenaan.

"Ada seorang guru besar, dia belikan untuk anaknya yang gagal dalam mata pelajaran sejarah. Selepas anak dia baca komik yang saya hasilkan, daripada fail mampu raih keputusan B dalam subjek berkenaan.

"Guru besar berkenaan pun siap minta saya untuk beri talk di sekolahnya yang terletak di Klang bagi jelaskan lebih mendalam tentang manfaat komik itu kepada pelajar-pelajar," katanya kepada Majoriti.

Tidak hanya itu, Azrin berkata, banyak respons positif yang diterimanya apabila menjual menerusi atas talian.

"Dalam Shopee sudah kira-kira dalam 955 buah buku komik sejarah yang sudah terjual. Ramai orang yang sudah beli beri respons yang baik. Ada yang kata anaknya dapat A, ada yang dapat B," katanya.

photo_6102391475661817663_x

Antara pengisian dalam komik Sejarah KSSM Tingkatan 4 yang dihasilkan oleh Azrin Ahmad.

Kini, komik itu juga menerima sambutan yang baik buat warga pendidik di Sabah.

"Ada juga pengendali buku di Sabah yang hubungi saya menerusi Shopee untuk beli set buku komik ini untuk dimasukkan ke sekolah-sekolah sekitar Sabah.

"Selain itu, ada juga syarikat korporat yang beli untuk mereka sumbangkan ke perpustakaan-perpustakaan sekolah," katanya.

photo_6102391475661817667_x

Antara pengisian dalam komik Sejarah KSSM Tingkatan 4 yang dihasilkan oleh Azrin Ahmad.

Azrin berkata, minatnya yang mendalam terhadap lukisan komik sudah bermula sejak kecil terutama ketika dia melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Mengimbau kenangan lama, Azrin berkata, sewaktu berada di Tingkatan Empat, dia mencipta komik pertama yang bertajuk Kasut Ajaib.

"Apabila waktu malam sahaja saya duduk di tepi tandas dan melukis kartun. Adalah dalam empat orang kawan-kawan menunggu komik itu. Mereka asyik tanya what's next?

"Ada juga guru dan pelajar senior yang minat dengan penceritaan yang saya hasil daripada idea tersendiri itu.

"Berkisarkan tentang seorang budak lelaki miskin yang pandai main bola tetapi hidup dalam keadaan susah. Suatu hari dia terjumpa kasut ajaib. Tetapi kerana waktu belajar saya agak sibuk, jadi terhenti begitu sahaja komik tersebut," katanya.

Selepas bertahun-tahun sekian lamanya, lelaki berusia 57 tahun itu kembali mencipta komik yang baharu bertajuk Komik Sejarah KSSM Tingkatan 4.

"Selepas sudah habis sekolah, saya ambil foundation dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perakaunan dan kewangan di London. Selepas itu sudah ada anak baru saya mula melukis kartun semula," kata bapa kepada empat orang anak itu.

photo_6102385668866031160_y

Azrin pintar mencipta komik sejarah untuk memudahkan anaknya memahami mata pelajaran Sejarah.

Pada awalnya, Azrin berkata, dia membuat komik berkenaan untuk memudahkan anaknya, Muhammad Fayyadh yang sewaktu itu mahu mengikuti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya mula buat komen semula apabila anak saya nak ambil SPM. Saya terfikir cara mudah nak mengajar supaya dia cepat tangkap subjek Tingkatan 4.

"Saya baca semula buku Tingkatan 4 untuk bagi anak faham subjek itu. Saya pelan buat peta minda tetapi anak saya tak pakai pun.

"Jadinya, saya tambah baik sehinggalah keluarnya komik tersebut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram