[VIDEO] Sebelum bintang Perak, Syafiq Ahmad antara 3 bintang Liga Super pernah layan STL


  • Podium
  • Sabtu, 19 Okt 2024

Barisan bintang The Bos Gaurus yang hadir memberi sokongan kepada Perak Bison dalam saingan yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh baru-baru ini.

PASUKAN Perak FC datang dengan semangat yang membara untuk menyokong Perak Bison dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Perak baru-baru ini.

Kehadiran barisan pemain The Bos Gaurus (TBG) itu menambah lagi suasana perlawanan dengan laungan sorakan yang membangkitkan semangat Perak Bison.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak itu menyaksikan lautan warna kuning hitam menghiasi setiap sudut venue tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Minta maaf saya kepala', import Selangor Pistons salah baca 'arahan'

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tersengih-sengih macam tak serius main', tekong punca perjalanan Penang Black Panthers terhenti di SPICE Arena

Kehadiran barisan pemain Perak FC di stadium itu menunjukkan semangat kesukanan yang kuat antara atlet dari pelbagai sukan di negeri Perak.

Perak Bison pastinya mendapat suntikan moral tambahan dengan kehadiran pemain-pemain bola sepak dari Perak FC, yang turut sama menyokong usaha mereka untuk meraih kejayaan dalam saingan Emas Anuar STL 2024.

Bagaimanapun, tahukah anda, kehadiran pemain bola sepak tanah air ke gelanggang bola rotan itu bukanlah kali pertama berlaku.

Ia kerana sebelum ini terdapat juga beberapa bintang tanah air yang pernah memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga bintang tanah air yang pernah hadir memberikan sokongan kepada pemain STL.

1. Akhyar Rashid (2024)

Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid antara pemain tanah air yang pernah hadir ke gelanggang bola rotan itu.

Akhyar yang juga pemain pinjaman dari JDT itu hadir ke Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu untuk memberi sokongan kepada Terengganu Turtles khususnya.

Kehadiran pemain sayap Harimau Malaya itu berjaya memberi suntikan semangat kepada pasukan Pantai Timur berkenaan apabila berjaya mara ke perlawanan akhir bertemu Kuala Thunder dalam GP Terengganu.

2. Syafiq Ahmad (2023)

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad antara pemain tanah air yang pernah hadir meluangkan masa menonton saingan STL musim lalu.

Syafiq yang dipinjamkan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini dikesan hadir memeriahkan perlawanan antara Johor Tigris bertemu ATM Guardians dalam kemenangan 2-0 (21-15,21-12) saingan Champions Cup.

Meskipun berlainan sukan namun semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh pemain bola sepak itu menerima pujian daripada penyokong tanah air.

Syafiq yang dilihat hadir bersama keluarganya ketika itu meluangkan masa dengan menyokong pasukan kegemarannya, Johor Tigris, malah mengakui sudah lama meminat sukan tersebut.

3. Farizal Marlias (2023)

Penjaga gol Harimau Selatan, Farizal Marlias antara Tonggak JDT yang turut tidak melepaskan peluang untuk memberi sokongan kepada Johor Tigris.

Bintang Harimau Selatan itu hadir ke Studio Iskandar Malaysia, Johor untuk menyaksikan perlawanan antara Johor Tigris bertemu Terengganu Turtles dalam saingan Champions Cup.

Manisnya aksi tersebut, Johor Tigris berjaya mengenepikan cabaran pasukan Pantai Timur itu apabila meraih kemenangan 2-1.

Farizal yang sempat diinterviu oleh pengacara Astro Arena, Azlan Mubin, berkongsi bahawa dia terkejut dengan suasana gelanggang STL yang jauh berbeza berbanding ketika menonton di kaca televisyen.

Begitu pun, dia berharap agar kejohanan itu akan menjadi lebih meriah pada masa akan datang dengan kehadiran peminat bola rotan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram