Jemput skuad Sang Badak di Bayan Lepas, Baddrol Bakhtiar ubat kerinduan penyokong The Rhinos


  • Podium
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Baddrol Bakhtiar sempat meluangkan masa untuk berjumpa dengan Sabah FC sebelum aksi bertemu The Bos Gaurus pada Sabtu.

HUBUNGAN bekas pemain bola sepak kebangsaan, Baddrol Bakhtiar dan Sabah FC dilihat masih dalam keadaan baik apabila satu gambar dimuatnaik di laman Facebook.

Menjelang perlawanan Liga Super antara Sabah FC dan Perak FC, bekas legenda Kedah Darul Aman (KDA) FC itu dilihat menyambut kedatangan Sang Badak yang baru sahaja tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Jumaat.

Menerusi hantaran yang dikongsikan di laman Facebook Sabah Football Club, Baddrol dilihat sempat meluangkan masa untuk berjumpa dengan pasukan The Rhinos antaranya Telmo Castanheira dan Stuart Wilkin.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Minta maaf saya kepala', import Selangor Pistons salah baca 'arahan'

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tersengih-sengih macam tak serius main', tekong punca perjalanan Penang Black Panthers terhenti di SPICE Arena

Dalam pada itu, kehadiran bekas kapten The Rhinos itu dijangka mampu menyuntik semangat barisan pemain Sabah FC untuk beraksi cemerlang di laman lawan.

Bukan itu sahaja, kehadiran Baddrol bersama-sama bekas pasukannya itu dilihat mengubati kerinduan penyokong The Rhinos.

"BB7 rindu dengan Sabah, itulah dia datang sambut dekat airport, terima kasih BB7," kata Norfaris Patrick.

"Terima kasih BB7 kerana tidak lupa dengan Sabah FC, Sabah pun mesti rindu dengan kamu," kata Francis Koh.

"Semoga kehadiran BB7 dapat suntik semangat Sabah FC bertemu Perak FC nanti," kata Rivil Sungeh.

Untuk rekod, Baddrol menyertai Sabah FC yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee selepas 15 tahun menabur bakti bersama Sang Kenari.

Sumbangan Baddrol pasti diingati apabila dia menjadi 'tulang belakang' buat Sabah FC yang menamatkan saingan di tangga ketiga pada musim 2022.

Sabah FC akan berkunjung ke Stadium Mini Manjung, Perak untuk bertemu The Bos Gaurus (TBG) bagi saingan Liga Super pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram