Format GP menyukarkan, stamina pemain, jadual padat antara luahan pengurus STL Liga Premier


  • Podium
  • Ahad, 06 Okt 2024

Selepas berakhirnya GP Selangor dan GP Terengganu, Selangor Pistons kini menghuni tangga kelima carta STL Premier dengan meraih 29 mata.

SAINGAN Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 musim ini menyaksikan pelaksanaan Grand Prix (GP) sebagai konsep dan format baharu yang diperkenalkan sempena sedekad kejohanan berkenaan menakluk arena sepak takraw tanah air.

Format GP yang diperkenalkan itu merupakan gabungan elemen kejohanan liga dan kejohanan pusingan sekali gus dilihat memberi peluang kepada semua pasukan untuk menjadi juara GP setiap mengikut venue STL yang diadakan.

Daripada aspek format pertandingan, 12 pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir sebelum layak ke separuh akhir dan seterusnya di pentas final.

BACA LAGI: [VIDEO] Kedudukan jatuh mendadak, bekas tekong Thailand dirindui saat regu Johor Tigris tak menjadi

BACA LAGI: [VIDEO] 'Killer' terpaksa pulang sekejap ke Thailand, Penang Black Panthers tak gentar harungi kumpulan maut STL GP Perak

WhatsApp Image 2024-10-05 at 21.16.13 (1)

Kekuatan Kuala Lumpur Thunder membuktikan regu warga kota itu dalam kelas tersendiri apabila bergelar juara dalam GP Selangor dan GP Terengganu.

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa setiap pasukan perlu berkampung dalam lima venue perlawanan dengan jarak yang berbeza sepanjang kejohanan itu berlangsung dan hanya memiliki kurang seminggu untuk sesi latihan di gelanggang sendiri.

Malah, setiap pasukan dilihat akan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk berkampung di venue perlawanan yang sudah dijadualkan.

Sebagai contoh, dalam format GP musim ini, terdapat lima venue yang bakal menjadi tuan rumah iaitu GP Selangor, GP Terengganu, GP Perak, GP Penang dan GP Johor.

Dengan perlawanan yang bersifat berterusan itu, jadual padat, kurang fokus, faktor stamina antara kesukaran yang dijangka cabaran untuk semua pasukan.

Berbeza pula dengan format STL sebelum ini, lebih berfokus kepada liga tahunan yang terdiri daripada 10 pasukan yang bertanding dalam format liga.

Setiap pasukan akan bertanding dalam format liga round-robin yang mana semua skuad bakal bertemu antara satu sama lain dalam beberapa perlawanan sepanjang musim mengikut venue yang ditetapkan.

Tidak seperti musim ini, kejohanan STL tahun lalu bertempat di seluruh Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Meskipun begitu, jarak antara venue tersebut tidaklah sukar jika dibandingkan dengan format GP kerana format itu nyata menyukarkan persediaan beberapa pasukan STL.

Malah, tiada rungutan daripada pihak pengurusan mengenai pemilihan venue tersebut sebelum ini.

Antara kesukaran yang diluahkan adalah faktor stamina pemain dan kos perbelanjaan yang dihadapi oleh pihak pengurusan pasukan masing-masing.

WhatsApp Image 2024-10-05 at 21.16.13

Penang Black Panthers (jersi biru) yang terkenal dengan ramai pemain muda nyata mampu memberikan saingan apabila merebut tangga keenam STL Premier selepas berakhirnya dua GP.

1. Stamina pemain

Stamina merupakan faktor yang amat penting dalam menentukan prestasi seorang atlet, terutamanya dalam sukan berintensiti tinggi seperti sepak takraw.

Perbezaan venue perlawanan dengan jarak yang jauh secara tidak langsung memberi kesan kepada pemain kerana mereka pastinya memerlukan rehat yang cukup bagi menghadapi aksi seterusnya.

Tentunya, kurang rehat bagi pemain sepak takraw boleh memberi kesan negatif terhadap stamina dan prestasi mereka.

Malah, kekurangan tempoh rehat akan menyebabkan keletihan, penurunan fokus, dan risiko kecederaan, yang akhirnya akan menjejaskan keupayaan pemain untuk beraksi pada tahap maksimum.

Hujah berkenaan turut dikuatkan dengan luahan daripada pengurus pasukan Selangor Pistons, Syahril Mohd Rashid yang mendedahkan bahawa dengan format GP yang diperkenalkan itu sedikit sebanyak mengganggu stamina pemain.

"Melalui jadual yang padat, ada keletihan yang kita nampak dari pemain-pemain di atas perjalanan yang jauh," ujarnya.

Malah, pengurus pasukan Penang Black Panthers, Mohd Hasnul Hadi Abdul Rashid turut meluahkan pandangan sama dengan mendedahkan bahawa format GP sememangnya memberi kesan kepada stamina anak-anak buahnya.

"Stamina pemain akan terganggu sebab faktor penat sebab nak kena biasakan dengan suasana yang baharu di setiap venue berbeza," katanya.

KW..

Kelantan Warriors muncul juara Divisyen 1 selepas menewaskan Selangor Pistons dalam perlawanan akhir Divisyen 1 Liga Sepak Takraw 2024.

2. Kos perbelanjaan

Nampak mudah tapi tahukah anda bahawa kos untuk format GP musim ini menelan perbelanjaan yang tinggi.

Seperti luahan yang sering kita dengar, kos perjalanan untuk kejohanan merupakan salah satu faktor utama dalam apa jua sukan sekali pun.

Hal ini kerana, perbezaan venue menyukarkan beberapa pasukan yang terpaksa menaiki pengangkutan darat atau penerbangan yang turut melibatkan kos penginapan dan makan.

Penginapan untuk kejohanan yang berlangsung lebih dari satu hari, bersama-sama dengan kos makanan untuk pemain, jurulatih, dan staf sokongan, turut menyumbang kepada peningkatan kos.

Faktor tersebut juga menjadi kebimbangan pengurus pasukan Kelantan Warriors, Mahizi Mahmood yang berpendapat bahawa mereka turut berdepan masalah kewangan.

"Kelantan Warriors kini berdepan dengan kekangan kewangan, agak sukar untuk kita nak cari dana yang cukup untuk pemain agar mereka boleh fokus pada perlawanan," katanya.

Bukan itu sahaja, pengurus Selangor Pistons turut menyuarakan masalah yang sama apabila mendedahkan bahawa format GP tersebut memberi kesan utama kepada perbelanjaan pasukan.

"Kalau kita tengok sekarang, cabaran yang kita hadapi sekarang adalah berdepan dengan perbelanjaan yang semakin meningkat," luahnya.

Susulan luahan yang dilontarkan oleh pengurus pasukan, Majoriti sedang mendapatkan respons daripada pihak penganjur STL berkaitan masalah yang timbul itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram