'Pentas ACLE, ACL 2 lebih mencabar, Selangor dan JDT bakal hadapi nasib serupa'


  • Podium
  • Sabtu, 17 Ogos 2024

Pekan berpendapat Selangor dan JDT bakal mengalami nasib sama sukar untuk ke pusingan seterusnya di pentas Asia.

JOHOR DARUL TA'ZIM (JDT) dan Selangor FC akan membawa cabaran negara dalam pentas Asia apabila dua gergasi Liga Malaysia itu diundi bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) serta Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2).

Selangor yang beraksi di ACL 2 diundi dalam Kumpulan H bersama gergasi Korea Selatan yang juga juara dua kali ACL, Jeonbuk Hyundai Motors FC, Muangthong United (Thailand) dan Dynamic Herb Cebu (Filipina)

Gergasi Merah yang juga naib juara Liga Super musim lalu akan memulakan langkah mereka dalam ACL2 menentang Muangthong United di Stadium Thunderdome, Nonthaburi, 19 September ini.

BACA LAGI: Penyokong setuju Nafuzi tukar Milos Gordic lepas Faye padam hasrat kebangkitan Kedah

BACA LAGI: Sabah guna khidmat import Jepun, sambar 2 tonggak kebangsaan perkuat pasukan ke Asia

Menurut pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli merasakan Ali Olwan akan menjadi senjata utama Selangor dalam kempen ACL 2 namun beliau berpandangan jangka hayat Gergasi Merah hanya di peringkat kumpulan.

"Bukan nak memperendahkan Nidzam Jamil tetapi Gergasi Merah telah diundi dalam kumpulan yang sukar dan jangka hayat Selangor mungkin sekadar di aksi peringkat kumpulan sahaja.

"Ini pengalaman terbaik untuk Nidzam di pentas Asia. Dia perlu buktikan dia bukan jurulatih sembarangan. Gunakan peluang ini untuk menghasilkan keputusan 'upset' ketika bertemu Jeonbuk Hyundai atau Muangthong United. Jika berjaya nama jurulatih Selangor akan mewangi di Asia.

"Kehadiran import baharu Selangor, Ali Olwan dari Jordan yang pernah menjaring gol hatrik ketika bertemu Harimau Malaya dahulu pasti akan menjadi tumpuan dan boleh memacu Selangor untuk melepasi aksi peringkat kumpulan," katanya kepada Majoriti.

Menyentuh tentang JDT, Pekan berpendapat Arif Aiman tidak akan menjadi pemain tumpuan di pentas Asia musim ini kerana pentas ACLE lebih mencabar.

"Format baharu ACLE dilihat memberi lebih banyak peluang untuk Harimau Selatan melangkah lebih jauh terutama tidak dipertemukan dengan pasukan-pasukan gergasi dari Asia Timur. Peluang beraksi selaku tuan rumah sebanyak empat kali juga satu kelebihan yang harus dipergunakan JDT.

"Cabaran berat menanti JDT, dua pasukan Korea iaitu Ulsan Hyundai dan Pohang Steelers serta Shanghai Shenhua FC dari China memang reputasi mereka lebih baik.

"Tetapi dengan kelebihan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim ia boleh menjadi tonik terbaik untuk JDT melakar kejutan.

"Saya dapat rasakan pemain tumpuan JDT kali ini bukan pemain tempatan. Arif Aiman mungkin sukar untuk menjadi bintang seperti musim lalu. Pentas ACLE ini makin mencabar untuk beliau. Saya rasa hanya pemain import JDT mampu menangani cabaran di ACLE ini," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram