Penyerang sasaran Liverpool rasa kecewa, rakan pasukan kena 'sidai' 16 jam seperti tebusan di Libya


  • Podium
  • Isnin, 14 Okt 2024

Pemain Nigeria berdepan situasi 'tebusan' selama 16 jam di lapangan terbang sekitar Libya baru-baru ini. — Agensi

KEMPEN Kelayakan Piala Negara-Negara Afrika terpalit dengan kontroversi berikutan layanan mengecewakan diberikan terhadap pemain Nigeria yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat.

Ini selepas pemain skuad Super Eagles dibiarkan tanpa layanan berperikemanusiaan di Lapangan Terbang Al Abraq, Libya apabila mereka tersadai untuk hampir beberapa jam.

Berdasarkan tanggapan ramai, tindakan itu berpunca daripada taktik tuan rumah untuk membuatkan pemain lawan berada dalam keadaan tidak bersedia dan keletihan menjelang aksi berkenaan.

BACA LAGI: Gaji tak masuk akal punca Liverpool-Chelsea sepakat lupakan Osimhen saat-saat akhir

BACA LAGI: [VIDEO] Baru sambung kontrak sampai 2026, Osimhen dah kena tinggalkan padang

_132436949_gettyimages-1959864190

Osimhen kecewa dengan layanan diterima rakan sepasukannya di Libya.

Manakan tidak, masing-masing terbiar di dalam bangunan tersebut selama 16 jam dengan mereka tidak diberikan makanan atau minuman sepanjang tempoh tersebut.

Hal itu kemudian dikongsikan beberapa tonggak utama Nigeria, seperti Ademola Lookman dan Victor Boniface yang kecewa dengan layanan Persatuan Bola Sepak Libya.

Malah, penyerang utama mereka, Victor Osimhen juga jelas tidak berpuas hati dengan menyifatkan situasi dihadapi mereka tidak ubah seperti nasib dialami tebusan meskipun tidak dipanggil ke dalam skuad bagi perlawanan terbabit.

Dalam satu hantaran di Instastory peribadinya, pemain yang dahulunya disasarkan Liverpool terbabit meminta Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) melancarkan siasatan lebih mendalam.

WhatsApp Image 2024-10-14 at 8.27.23 PM

Luahan Osimhen terhadap situasi dialami pemain Nigeria di Libya.

"Saya amat kecewa dengan layanan tidak adil kepada sahabat dan jurulatih saya yang terbiar di lapangan terbang Libya. Tindakan seperti ini sudah melanggar semangat kesukanan.

"Saya meminta CAF dan mana-mana persatuan bola sepak untuk masuk campur kerana rakan-rakan saya masih 'tersadai' di sana. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku," tulis pemain itu.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, kelihatan beberapa pemain Nigeria terpaksa tidur di atas bangku dan lantai berikutan tindakan tidak berhati perut itu.

Malah, terdapat juga laporan mengatakan Persatuan Bola Sepak Nigeria akan cuba memboikot perlawanan berkenaan sebagai tanda kekecewaan terhadap Libya yang berada di kedudukan 121 dunia itu.

Ketika ini, skuad Super Eagles berada di kedudukan kelima dalam kempen Kelayakan AFCON 2025/Piala Dunia 2026 dengan hanya tiga mata dikumpul selepas empat perlawanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram