SEBAGAI pendedahan terhadap atlet muda, pelbagai pertandingan sudah dianjurkan sejak mereka berada di bangku persekolahan seperti saingan Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) dan Kejohanan Sukan Sekolah Agama Malaysia (KESSUMA).
Usaha itu diteruskan apabila masing-masing melangkah ke universiti pilihan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) giat menganjurkan kejohanan buat mana-mana pelajar berpotensi.
Malah, baru-baru ini, dua temasya sukan peringkat kebangsaan, iaitu Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia dipertandingkan dengan sambutan cukup hangat disaksikan.
BACA LAGI: [VIDEO] Motivasi, kesungguhan coach Khor buat skuad bola keranjang UM semangat hadapi MASUM
BACA LAGI: Kilauan pingat emas jadi impian Rosita Lua cipta kenangan manis dalam SUKIPT terakhir
SUKIPT merupakan antara pertandingan dianjurkan buat atlet di peringkat universiti. — KPT
Usaha berkenaan menunjukkan pelbagai pihak bersungguh-sungguh memastikan atlet muda dalam negara dapat digilap dengan harapan bakat mereka dapat disaksikan di peringkat lebih tinggi.
Bagaimanapun, proses itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana berdasarkan pengamatan, ramai atlet berpengalaman di kedua-dua temasya itu tidak dapat meneruskan karier dalam sukan diceburi.
Selain terpaksa memilih mencari kerja dalam bidang berbeza, atlet berkenaan juga sering dilupakan apabila persatuan sukan tidak dapat melonjakkan lagi nama masing-masing supaya mempertaruhkan kebolehan mereka di pentas antarabangsa.
Hal itu diakui pemenang dua pingat emas Sukan SEA dalam acara tae kwan do, Syafiq Zuber yang sedar bahawa atlet seni mempertahankan diri itu sering kali 'tenggelam' meskipun memiliki potensi.
Syafiq terlibat dalam beberapa kejohanan sepanjang terlibat dalam sukan tae kwan do. — Instagram/Syafiq Zuber
"Bagi saya, dalam negara ini, ramai atlet tae kwan do kerana jika kita lihat dalam kelompok umur 18 ke 20 tahun, memang ramai dan saya tidak boleh menafikannya.
"Tetapi, selepas sahaja meneruskan pengajian di universiti, terdapat isu kurang pendedahan kerana masing-masing memilih untuk fokus belajar. Bagi saya, ini sedikit kerugian kerana bakat mereka hanya tersekat pada umur berkenaan, namun masih boleh pergi ke tahap lebih jauh," katanya kepada Majoriti.
Sebelum dapat mewakili negara, Syafiq juga pernah berentap dalam saingan SUKIPT, mewakili kontinjen Politeknik Malaysia dengan pingat emas pernah diraihnya pada saingan yang diadakan dua tahun lalu.
Kejayaan itu sedikit sebanyak menceritakan pertandingan berkenaan mempunyai nilai tersendiri, namun saingan cukup hebat menyukarkan atlet untuk terus kekal dalam sukan diceburinya.
Isu mengenai kesukaran mewakili negara juga pernah disuarakan sebelum ini ketika Majoriti melaporkan bagaimana seorang pemenang emas Sukan Malaysia (SUKMA), Meor Muhammad Amerul Mohd Sahak yang menceburi bidang hartanah.
Ini merupakan sedikit kerugian kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang tidak mengambil kesempatan terhadap kebolehannya memandangkan negara ketika ini tidak memiliki atlet berjalan kaki berkualiti.
Syafiq merupakan pemenang dua emas Sukan SEA pada 2021 dan 2023. — Facebook/Sukan IPT
Isu berkenaan juga pasti melanda pelbagai sukan lain yang tidak dapat meneruskan latihan dan pendedahan buat atlet masing-masing berikutan pelbagai isu dan halangan dihadapi.
Tambah Syafiq lagi, masalah itu turut dialami mereka yang menceburi sukan tae kwan do kerana kekangan dari pelbagai sudut menyukarkan harapan untuk menyaksikannya bersinar.
"Bagi saya, sukan ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana di peringkat Sukan SEA atau Sukan Asia, masih sangat susah. Jadi, peluang untuk atlet itu juga agak terhad.
"Ini juga kerana harapan atlet untuk sertai MSN atau di tahap negeri pun sudah sedikit susah kerana pendedahan yang kurang berbanding atlet tae kwan do di luar negara," katanya lagi.
Syafiq bagaimanapun tidak berdepan masalah itu dengan dia kini masih bergelar atlet profesional dan sedang mempersiapkan diri bagi saingan Terbuka Asia yang akan berlangsung di Indonesia bermula 15 Oktober depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram