Terperanjat pecah rekod, Olahragawan SUKIPT optimis sukan kayak ada masa depan


  • Podium
  • Ahad, 29 Sep 2024

Nik Afiq menegaskan kepercayaan terhadap barisan jurulatih diperlukan untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang. — Facebook/KPTM Bangi

MESKIPUN kurang diberikan perhatian, sukan kayak memiliki reputasi tersendiri di peringkat antarabangsa memandangkan ia turut dipertandingkan dalam temasya Olimpik sejak bertahun-tahun lamanya dahulu.

Bagaimanapun, dalam landskap tanah air, ia kurang diberi perhatian kerana kurangnya pendedahan terhadap orang ramai yang menyebabkan atlet dalam sukan akuatik berkenaan sukar mendapatkan persaingan.

Hal tersebut akan membuatkan mereka sedikit bergelut setiap kali berentap di peringkat antarabangsa dengan lawan yang dihadapi lebih bersedia dari segi fizikal dan mental.

BACA LAGI: Pecahkan rekod 10 tahun bantu atlet UiTM raih perak acara kayak muncul olahragawati SUKIPT

BACA LAGI: Kilauan pingat emas jadi impian Rosita Lua cipta kenangan manis dalam SUKIPT terakhir

459632449_967165375449746_7420066186645435136_n

Nik Afiq (tiga dari kiri) ketika dipilih sebagai Olahragawan SUKIPT 2024. Facebook/KPT

Namun, usaha masih dicurahkan pengelola sukan dalam negara dengan memastikan acara itu dipertandingkan seperti dalam temasya Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Malah, peserta dalam sukan kayak turut diangkat apabila pemenang pingat emas, Nik Afiq Nik Mazli yang diangkat sebagai Olahragawan atas kejayaan dipamerkan pada temasya berkenaan.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka dapat membawa pulang anugerah berkenaan kerana percaya terdapat peserta lain dengan pencapaian lebih baik berbandingnya.

"Saya sendiri terkejut kerana ada ramai lagi peserta yang pecah rekod atau menang pingat emas. Malah, dalam sukan renang sekali pun, ada yang bolot sehingga enam pingat emas, jadi saya agak tidak menjangkakan kejayaan peribadi saya itu.

"Dari segi pandangan peribadi untuk pecahkan rekod, saya juga tak jangka kerana saya tidak pernah mencatatkan masa sebegitu. Tetapi, ketika beraksi dalam SUKIPT baru-baru ini, boleh pula saya berbuat demikian" katanya kepada Majoriti.

459673123_1157796015897966_2534864874827720598_n

Pencapaian Nik Afiq dalam acara disertainya cukup memberikan kejayaan buatnya. Facebook/KPTM Bangi

Menurutnya, latihan ditempuhi dalam proses mempersiapkan diri ke temasya berkenaan ditetapkan jurulatihnya sambil dia turut berkongsi bagaimana persiapan mental juga penting.

Nik Afiq yang kini berusia 21 tahun menampilkan persembahan cemerlang dalam SUKIPT yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah dengan mengungguli acara kayak (TK1 Lelaki 200 meter).

Selain itu, dia yang merupakan penuntut Kolej Politeknik Mara (KPTM) Bangi berjaya memecahkan rekod 10 tahun dengan catatan 42.97 saat dalam temasya berkenaan.

Pencapaian direkodkan Nik Afiq itu menyaksikan institut diwakilinya berada di kedudukan ke-21 dalam carta dengan pingat dibawanya pulang adalah satu-satunya emas diraih mereka.

459254235_829967612685704_6467399697011116898_n

Nik Afiq akui terkejut kerana dapat menewaskan lawannya yang lain. Facebook/KPTM Bangi

Dalam pada itu, atlet kayak tersebut berkata, acara berkenaan memiliki masa depan dalam negara dengan menegaskan setiap atlet yang menceburkan diri dalam acara berkenaan perlu memberikan usaha terbaik.

"Bagi saya, sukan kayak masih boleh berkembang sekiranya seseorang itu fokus kepada latihan dan berikan yang terbaik dalam sesi masing-masing. Selain itu, mereka juga perlu percayakan barisan kejurulatihan.

"Saya juga memasang impian untuk layak ke pertandingan Olimpik sekiranya rezeki berpihak kepada saya. Saya juga mahu mensasarkan pingat emas pada kejohanan Sukan SEA di Thailand," katanya lagi.

Sepanjang menceburkan diri dalam sukan kayak, Nik Afiq sudah beraksi dalam dua temasya Sukan SEA, termasuk pada edisi tahun lalu di Kemboja yang menyaksikannya meraih pingat perak bagi acara perlumbaan bot tradisional berkumpulan.

Jadi, pendedahan diberikan atlet dari KPTM Bangi itu pasti membuka jalan luas buat mana-mana atlet muda tanah air untuk terus mengharumkan nama negara dalam sukan kayak pada tahun-tahun akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram