DALAM kerancakan tahun baharu Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula pada April nanti, pemain berdarah kacukan Jerman-Malaysia masih menantikan peluang untuk beraksi sebagai status pemain bola sepak tempatan menjelang saingan musim baharu ini.
Pemain kacukan itu adalah Armin Maier Rafi, 27, yang pernah beraksi bersama dua pasukan gergasi Liga M iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC.
Armin turut dikenali dengan corak permainan persis pemain bintang Real Madrid, Toni Kroos dan mempunyai pengalaman beraksi dalam beberapa liga di Eropah.
Namun begitu, Armin masih belum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan meskipun dia mendakwa mempunyai pertalian darah dengan negara itu melalui datuknya.
Menurut Armin, dia ketika ini sedang mewakili sebuah pasukan di Jerman sehingga Jun 2024 tetapi merindui suasana dalam Liga M.
"Buat masa ini, saya menandatangani kontrak bersama sebuah pasukan di Jerman sehingga Jun 2024.
"Tetapi saya sentiasa terbuka untuk berpindah ke Asia dan terdapat beberapa perbincangan yang sedang berjalan.
"Ya, saya sangat merindui Malaysia, Liga M dan peminat. Saya selalu mengatakan bahawa Malaysia adalah rumah saya jadi saya amat merinduinya.
"Insya-ALLAH saya akan kembali tidak lama lagi," katanya kepada Majoriti.
Bekas pemain JDT II itu telah mendapat beberapa tawaran dari Liga M yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada musim depan.
"Saya tidak menerima sebarang tawaran konkrit, tetapi terdapat perbincangan dengan tiga kelab tertentu yang telah menunjukkan minat terhadap saya.
"Saya sentiasa mahu bermain untuk pasukan yang mempunyai pengurusan dan kemudahan yang baik, sudah tentu saya mahu bersama kelab yang bercita-cita tinggi dan mahu memenangi kejuaraan.
"Buat masa ini, saya kembali ke Jerman bersama keluarga dan merancang serta membuat persediaan untuk 2024.
"Saya sedang berbincang dengan beberapa individu, jadi mari kita lihat apa yang berlaku," jelasnya.
Tambahnya lagi, dia telah dihubungi beberapa individu penting di Singapura namun masih memilih setia bersama Malaysia.
Namun Armin memerlukan sokongan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memudahkan urusannya mendapatkan pasport negara ini sekali gus dapat beraksi sebagai pemain tempatan.
"Impian saya adalah untuk bermain bersama Malaysia.
"Beberapa orang dari Singapura telah menghubungi saya, tetapi saya mahu bermain untuk Harimau Malaya.
"Tanpa sokongan FAM, sangat susah untuk mendapatkan pasport Malaysia. Itulah masalah yang saya hadapi sebab dengan pasport Malaysia saya boleh beraksi dalam Liga M dan pasukan kebangsaan.
"Saya harap suatu hari nanti impian saya akan menjadi kenyataan," luahnya.
Corak permainan Armin persis pemain bintang Real Madrid, Toni Kroos.
Armin yang pernah beraksi bersama Selangor berbangga dengan pencapaian Gergasi Merah berjaya layak ke pentas Asia dan mendoakan agar skuad kebangsaan mampu mara lebih jauh dalam saingan Piala Asia Qatar pada minggu depan.
"Ya, Selangor dan peminat berhak mendapat ini. Sepanjang saya di sana saya sudah dapat melihat apa yang cuba dicapai oleh kelab.
"Kelab besar seperti Selangor harus cuba mencontohi JDT dan mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
"Saya rasa ia satu pencapaian yang hebat kerana Malaysia layak ke Piala Asia di Qatar. Semua yang lain adalah bonus.
"Ia akan menjadi pengalaman hebat untuk pemain bersaing dengan pasukan teratas di Asia, tetapi jangkaan saya agak rendah. Negara-negara Asia yang lain seperti Korea dan Jepun masih jauh ke hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram