Guru akui 'gangguan' ibu bapa ketika latihan atlet bukan kes terpencil di sekolah harian Selangor


  • Podium
  • Isnin, 14 Okt 2024

Sokongan daripada ibu bapa yang seharusnya membawa aura positif, boleh bertukar sebaliknya akibat campur tangan berlebihan.

PENGANJURAN Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bukan sekadar kejohanan ‘budak sekolah’ namun merupakan platform untuk mencari atlet kebangsaan yang kemudiannya akan membawa nama tanah air ke peringkat pentas antarabangsa.

Di sebalik proses untuk membentuk atlet sekolah di kejohanan peringkat MSSM, tidak dinafikan ada pengalaman kurang enak yang menganggu jurulatih ataupun dalam melatih para pelajar mereka.

Misalnya, baru-baru ini, Majoriti menerima laporan bahawa terdapat segelintir pendidik menghadapi cabaran dalam mengembangkan potensi pelajar yang bergelar atlet akibat campur tangan berlebihan daripada ibu bapa.

BACA LAGI: Ibu bapa 'tunjuk pandai' lebih daripada jurulatih rencatkan potensi atlet MSSM

BACA LAGI: Mahu jadi sebaris Azeem Fahmi, Olahragawan MSSM sedar pentingnya pelajaran

Ibu bapa yang terlalu berasa lebih mengenali kemampuan anak menjadi faktor seseorang jurulatih itu sukar membentuk murid mereka menjadi lebih baik dalam sesuatu sukan.

Masalah berkenaan bukan sekadar singgah di beberapa sekolah apabila cikgu Mohd Sharil Ab Rahman dari Sekolah Sukan Negeri Selangor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 turut mengakui bahawa ia seolah-olah norma biasa ibu bapa merencatkan rancangan guru atau jurulatih di peringkat sekolah.

Menurutnya, masalah berkenaan sering berlaku dalam sekolah harian dek ibu bapa lebih banyak meluangkan masa bersama anak mereka dan cenderung untuk mengambil tahu perkembangan anak setiap hari.

“Itu benda normal. Kalau dekat sekolah biasa memang berlaku tapi dalam sukan olahraga benda itu minimum. Benda (campur tangan ibu bapa) ini banyak berlaku kepada team event macam bola sepak.

“Macam olahraga kalau pengalaman saya daripada sebelum saya jadi jurulatih sekolah sukan negeri. Bila anak dia perform, ibu bapa sendiri akan hulurkan macam-macam.

“Dalam sukan seperti bola sepak pula, bila ibu bapa banyak menyumbang tapi anak dia tak dapat kesebelasan utama, mesti mereka nak kacau. Dalam olahraga berlaku tetapi minimum.

“Ia sering berlaku dalam sekolah harian. Bila sekolah asrama, memang saya akan minta tanggungjawab amanah untuk menjaga anak dia kerana bila dia masuk di sekolah sukan waktu dia dengan saya lebih banyak daripada dengan ibu bapa dia,” katanya kepada Majoriti.

GAMBAR DALAM

Cikgu Sharil (paling tepi kiri, bertopi hitam) berkhidmat di SMK Seksyen 11.

Bagaimanapun, masalah berkenaan boleh diselesaikan jika seseorang pendidik itu bijak dalam memikat hati ibu bapa atau penjaga bagi mengekalkan hubungan baik dengan mereka.

“Bergantung kebijaksanaan jurulatih macam mana mahu mengambil hati ibu bapa. Kadang-kadang ada ibu bapa ni yang jenis aktif tak bertempat, selalu tunjuk pandai. Itu normal.

“Ibu bapa juga memerlukan tunjuk ajar. Mereka kena tahu cara latihan kita macam mana kan. Tapi isu-isu campur tangan ibu bapa dalam urusan anak di peringkat sekolah ni memang ada sahaja berlaku.

“Saya setakat ini menggunakan pendekatan itu iaitu cuba memikat hati ibu bapa dan alhamdulillah sudah 15 tahun saya menjadi jurulatih sekolah Sukan Negeri dan 18 tahun jurulatih Selangor,” ujarnya.

DSC_0643

Atlet di peringkat kejohanan MSSM berpotensi menjadi atlet kebangsaan jika konsisten menampilkan persembahan cemerlang.

Terdahulu Majoriti melaporkan ibu bapa yang terlalu berasa lebih mengenali kemampuan anak menjadi faktor seseorang jurulatih itu sukar membentuk murid mereka menjadi lebih baik dalam sesuatu sukan.

Situasi itu katanya, juga pernah berlaku ke atas beberapa pelajar di institusi pendidikan di Malaysia.

Memberi contoh kejadian di sebuah sekolah berpangkalan di Borneo tanah air, sumber itu mendedahkan, terdapat ibu bapa yang mendakwa mereka adalah individu pertama yang menemukan bakat anak dan merupakan individu terawal melatih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram