HARIMAU Malaya bakal berhadapan New Zealand tanpa kelibat ketua pasukan, Dion Cools selepas bek tengah itu terpaksa menarik diri daripada menyertai rombongan skuad kebangsaan.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan (FAM), pemain berusia 28 tahun berkenaan terpaksa memilih untuk melangkah keluar daripada pasukan susulan urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan.
Ketiadaan tonggak utama Buriram United itu membuatkan para penyokong skuad kebangsaan sudah mula gusar dengan perlawanan getir bertemu dengan pasukan di ranking ke-95 dunia itu lagi-lagi apabila membayangkan gerak-geri bintang Nottingham Forest, Chris Wood.
BACA LAGI: Jumpa kelab dulu sebelum lawan New Zealand tetap bagus untuk Harimau Malaya — Pau Marti
Pemain warisan Belgium-Malaysia itu memainkan peranan besar dalam skuad Harimau Malaya terutama selepas membantu skuad negara menjulang trofi Pestabola Merdeka 2024 pada bulan lalu.
Nama seperti Dominic Tan, Feroz Baharudin, Safwan Mazlan dan Harith Haiqal Adam Afkar antara bek tengah yang disebut berpotensi untuk menggalas peranan Cools pada aksi menentang New Zealand itu.
Dalam kalangan pertahanan tersebut, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat bek muda Terengganu FC (TFC), Safwan dilihat pemain sesuai untuk menjadi 'kereta kebal' pasukan.
Pemain berusia 22 tahun itu antara bek muda sedang meningkat naik dalam arena bola sepak tanah air, ketenangan yang dimilikinya menjadi antara kelebihan Safwan jika dibandingkan dengan pertahanan lain.
Cools menarik diri daripada menyertai rombongan skuad kebangsaan.— Instagram/DionCools
"Saya lebih suka kalau peluang diberikan peluang kepada Safuan Mazlan. Jangan asyik nak cuba pemain muda kita pada 10 minit terakhir. Kalau beri peluang begitu sahaja, lebih baik tak payah beri dia main? Kadang-kadang bukan senang nak dapatkan keyakinan itu.
"Itu sebabnya saya lebih suka kalau ada pemain-pemain muda yang dikesan oleh Pau Marti ditonjolkan. Peluang beraksi kesebelasan utama akan berikan dia rasa tanggungjawab yang kuat dan boleh meningkatkan semangat dia
"Tetapi kehilangan Dion Cools bukanlah satu kerugian. Tidak dinafikan, Cools mempunyai kelebihan dengan membantu naik ke atas sekali-sekala. Tetapi bola sepak ni permainan berpasukan, tidak boleh bergantung pada satu pemain," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Pekan juga sempat mempersoalkan tindakan Pau Marti Vicente yang tidak menyenaraikan pemain muda seperti Haykal Danish dalam perlawanan persahabatan menentang Auckland FC.
Aksi persahabatan Tier 2 pada Jumaat menyaksikan skuad Harimau Malaya hanya mencatat keputusan seri 1-1 dengan kelab New Zealand, Auckland FC yang baru ditubuhkan enam bulan lalu.
"Saya sebenarnya harap aksi bertemu kelab ini, dia (Pau Marti) banyak melihat kepada pemain-pemain baru yang dia panggil. Sebab dia tak boleh nak gunakan pemain tu dalam perlawanan dengan New Zealand nanti.
"Tapi kalau ada pemain muda baharu yang tidak diturunkan dalam perlawanan menentang kelab itu, pasti mereka tak akan diturunkan dengan New Zealand. Jadi nampak merugikan bagi saya. Patutnya pemain lama yang sudah tahu sistem, disimpan dahulu," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram