Aksi berdepan JDT ditangguh, Pengerusi Perak dakwa tak diberi ruang berbincang oleh MFL


  • Podium
  • Ahad, 06 Okt 2024

Perlawanan Perak dan JDT ditangguhkan akibat hujan lebat dan permukaan padang yang tidak baik.

SELEPAS sehari isu perlawanan membabitkan Perak FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) ditunda buat kali kedua bagi musim ini menjadi topik perbincangan penyokong domestik, giliran Pengerusi The Bos Gaurus (TBG), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi tampil memberi kenyataan.

Situasi Stadium Perak dilanda hujan lebat itu menyebabkan keadaan padang tampil berlecak serta memboleh situasi berbahaya berlaku kepada para pemain kedua pasukan sehingga Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk menunda perlawanan.

Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh kelab berkenaan pada laman Facebook rasmi, Abdul Azim memaklumkan bahawa pihaknya tidak diberikan ruang dan peluang dalam perbincangan yang kemudiannya memutuskan untuk perlawanan ditangguhkan.

BACA LAGI: Bekas CEO Perak FC berang MFL tunda lagi aksi Perak-JDT, ekor Harimau Selatan kempunan 'awayday' batal kali ke-2

BACA LAGI: Penyokong Perak naik angin bas JDT berdesup tinggalkan stadium, siap tunjuk video bukti padang masih baik

“Perak FC ingin menjelaskan bahawa kami tidak diberi peluang dan ruang untuk berbincang atau memberikan pandangan sepanjang proses membuat keputusan ini.

“Perak FC sebagai sebahagian daripada pemegang taruh Liga Malaysia (Liga-M) sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk penilaian kesesuaian venue perlawanan.

“Stadium Perak, Ipoh telah dinilai dan diluluskan penggunaannya sebelum musim Liga-M 2024/25 bermula serta sebelum perlawanan yang dijadualkan semalam (Sabtu). Kami mengakui dan sentiasa menyokong keperluan untuk penambahbaikan pada padang di stadium tersebut.

“Walaupun stadium ini tidak diuruskan secara langsung oleh Perak FC. kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atas usaha mereka yang berterusan untuk menaik taraf padang dan aspek lain di stadium ini.

“Seperti yang sedia maklum, Perak FC akan bermain di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM). Manjung bagi baki musim 2024/2025 kerana kerja-kerja penaiktarafan padang Stadium Perak," katanya.

Bukan itu sahaja, orang kuat Perak itu juga mengakui turut kecewa selepas pihak tuan rumah langsung tidak diberi sebarang notis awal daripada pihak MFL mengenai perkara tersebut.

“Kami juga kecewa kerana tiada perancangan rapi dan notis awal dari pihak MFL berhubung perkara ini.

“Lebih 10,000 penyokong baik dari pihak tuan rumah mahupun pelawat telah hadir dengan perbelanjaan sendiri untuk menyaksikan perlawanan yang sangat dinanti-nantikan ini dan sehingga jam 6.00 petang, pemeriksaan menunjukkan bahawa perlawanan tidak akan dibatalkan.

“Pihak kami ingin menekankan bahawa kurangnya pertimbangan terhadap para penyokong kedua-dua pasukan Perak FC dan JDT yang hadir ke stadium adalah isu utama dalam hal ini.

“Pihak MFL perlu lebih prihatin, konsisten dan praktikal dengan mengambil kira serta menjaga kepentingan semua pemegang taruh, khususnya para penyokong. Perak FC ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan kepada pihak MFL bahawa penyokong adalah nadi kepada sukan ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada penyokong pasukan Perak FC atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dan kami berharap agar pihak MFL akan mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dan lebih terancang pada masa hadapan bagi mengelakkan keadaan seperti ini berulang lagi,” tutupnya.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai pembatalan buat kali kedua perlawanan itu dibuat oleh MFL pada pukul 9.52 malam dan pihak MFL akan menentukan tarikh baru perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram