Aksi GP Perak paling mendebarkan, 2 pasukan 'jodoh kuat' kali ketiga bertemu


  • Podium
  • Rabu, 09 Okt 2024

Meskipun diundi dalam kumpulan maut, Penang Black Panthers (kanan) dijangka akan memberi saingan sengit kepada KL Thunder. — Facebook/STL

SAINGAN Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Perak bakal membuka tirainya tepat jam 3 petang, Rabu (9 Oktober 2024).

Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak itu akan menyaksikan 12 pasukan Liga Premier sekali lagi berentap untuk merebut gelaran juara bagi GP Perak yang akan bermula dengan aksi antara Penang Black Panthers melawan ATM Guardians dan Johor Tigris menentang KPT-Masum Knights.

Dalam aksi GP Terengganu, KL Thunder berjaya mempertahankan kejuaraan tersebut buat kali kedua berturut-turut selepas sebelum ini muncul juara bagi GP Selangor dan GP Terengganu.

Menariknya GP Perak kali ini, terdapat beberapa kejutan dan aksi mendebarkan yang akan disajikan buat peminat bola rotan itu.

BACA LAGI: Pengurus Penang Black Panthers kongsi 'taktik' kekang libasan, rejaman KL Thunders

BACA LAGI: [VIDEO] 'Killer' terpaksa pulang sekejap ke Thailand, Penang Black Panthers tak gentar harungi kumpulan maut STL GP Perak

SP vs PB

Sebahagian aksi menarik yang ditunjukkan oleh Selangor Pistons ketika mengekang rejaman daripada Perak Bison. — Facebook/STL

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan pertemuan yang dijangka menjadi tumpuan utama peminat sepak takraw tanah air.

1. Rekod pertemuan

Perak Bison dan Selangor Pistons sekali lagi mencuri tumpuan peminat tanah air selepas dijadualkan akan bertemu dalam peringkat kumpulan C GP Perak.

Menariknya Kumpulan C GP Perak kali ini, Selangor Pistons dan Perak Bison boleh dianggap 'jodoh kuat' apabila bakal bertemu untuk kali ketiga selepas sebelum ini bertemu di GP Selangor dan GP Terengganu.

Dalam aksi sebelum ini, Perak Bison dan Selangor Pistons pernah diundi bersama-sama dalam GP Selangor untuk Kumpulan B dan Kumpulan D bagi GP Terengganu.

Malangnya, Selangor Pistons terpaksa berputih mata apabila tewas dalam dua pertemuan bertemu Perak Bison yang sekali gus menyaksikan pasukan Lembah Klang itu belum meraih sebarang kemenangan.

Dalam pada itu, pastinya Selangor Pistons memasang cita-cita tinggi untuk meleburkan rekod yang dipegang Perak Bison dalam dua pertemuan sebelum ini.

Johor Tigris

Johor Tigris bagaikan hilang taring tanpa import Thailand, Rattadech musim ini apabila tewas dalam GP Selangor dan GP Terengganu di peringkat kumpulan. — Facebook/STL

2. Kisah menarik Kumpulan A

Menjelang GP Perak, Kumpulan A dilihat akan mencuri perhatian penyokong tanah air kerana memiliki rekod yang kurang baik dalam dua GP sebelum ini.

Tahukah anda, Kumpulan A yang dibarisi oleh Johor Tigris, KPT Masum-Knights dan Bomba Fighters antara pasukan yang tidak pernah melangkah ke suku akhir.

Dalam GP Selangor dan GP Terengganu, ketiga-tiga pasukan terpaksa melupakan impian di suku akhir selepas kandas di peringkat kumpulan.

Begitupun, menariknya Kumpulan A tersebut, ketiga-tiga pasukan pastinya mempunyai peluang yang cerah untuk melakar sejarah sendiri agar mara ke suku akhir.

Untuk rekod, ketiga-tiga pasukan berkenaan masih belum meraih sebarang mata dan jauh ketinggalan di bawah carta STL.

AG vs KLT

Sebahagian aksi menarik antara KL Thunder (jersi oren) dan ATM Guardians dalam aksi suku akhir GP Terengganu. — Facebook/STL

3. Kumpulan maut

Penang Black Panthers dan ATM Guardians berada dalam kumpulan maut apabila diundi dalam Kumpulan D bersama juara GP Selangor dan GP Terengganu, KL Thunder pada aksi GP Perak.

Kumpuan D yang dianggap sebagai kumpulan maut pada aksi GP Perak kali ini bakal menyajikan permainan mantap dan sukar diduga dengan kesemuanya mempunyai keupayaan untuk muncul juara kumpulan.

Jika melihat kepada rekod pertemuan sebelum ini, ATM Guardians dan Penang Black Panthers gagal mencatatkan sebarang kemenangan bertemu KL Thunder.

Dalam pada itu, secara teorinya sudah pasti juara Kumpulan D akan dipegang oleh KL Thunder. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram