POLIS terpaksa mengacukan pistol terhadap seorang lelaki selepas dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di daerah Tawau, pantai timur Sabah.
Kejadian tersebut dirakam dalam satu hantaran video dan telah dikongsi secara meluas di media sosial.
Menerusi rakaman video itu juga, suspek yang berbaju kuning dilihat cuba berlindung berhampiran seorang penunggang motosikal yang berada di situ, ketika anggota polis trafik sedang mengacukan pistol sebelum bertindak melarikan diri.
BACA LAGI: Selangor tubuh pasukan khas pulihkan anak-anak GISB
Susulan kejadian itu, Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, mengesahkan kejadian itu dan menyatakan bahawa ia berlaku berhampiran sebuah sekolah di Jalan Utara sekitar pukul 10.30 pagi pada Ahad.
Menurutnya, suspek yang berusia 35 tahun berjaya ditahan pada hari sama sebelum cuba melarikan diri dari sekatan yang dilakukan oleh anggota polis trafik.
"Saya mengesahkan bahawa laporan telah dibuat oleh seorang anggota polis trafik mengenai kejadian itu pada Ahad," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jasmin berkata, pihaknya kini sedang menyiasat sama ada suspek merupakan warganegara asing atau mempunyai dokumen yang sah.
"Polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 yang membabitkan kesalahan gagal mematuhi arahan pihak berkuasa," tambahnya.
Tambahnya lagi, siasatan masih dijalankan dan hasil siasatan akan dikemukakan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. — The Star/DURIE RAINER FONG
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram