JOHOR Darul Ta'zim (JDT) baru-baru ini mencuri perhatian penyokong bola sepak global apabila membawa masuk bekas pemain Real Madrid, Jese Rodriguez bagi memperkuatkan pasukan mereka.
Pemain berusia 31 tahun berkenaan bukan hanya pernah beraksi bersama Cristiano Ronaldo di Real Madrid tetapi juga pernah mencipta nama dengan kelab gergasi seperti Paris St Germain, Sampdoria, Stoke City dan Real Betis.
Rodriguez mengakui teruja mendapat peluang beraksi di sebuah kelab hebat seperti JDT dan dia juga sempat mengucapkan terima kasih dengan Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor atas peluang yang diberi.
BACA LAGI: Dah cakap sejak 10 tahun lepas, 90 peratus padang dalam negara masih teruk — TMJ
Usaha Harimau Selatan untuk membawa masuk import berkualiti diteruskan apabila JDT dikhabarkan sedang menyasarkan dua bintang berdarah Sepanyol iaitu Sandro Ramirez dan Fabio Gonzalez.
Ramirez bukan calang-calang pemain apabila penyerang tersebut lahir daripada akademi kelab gergasi Sepanyol iaitu Barcelona dan dia juga beraksi bersama skuad Blaugrana sehingga musim 2016.
Selepas berkelana ke beberapa kelab lain seperti Everton, Sevilla, Malaga CF, Gelafe dan Real Sociedad, pemain berusia 29 tahun itu kini merupakan tunjang pasukan La Liga iaitu UD Las Palmas.
Sejak menyertai pasukan Las Palmas pada 2022, penyerang antarabangsa Sepanyol berrkenaan sudah mencetak 11 gol dan tujuh hantaran bantuan buat pasukan yang menghuni kedudukan terakhir dalam carta La Liga.
Selain Ramirez, rakan sepasukannya di UD Las Palmas iaitu Fabio Gonzalez juga dikatakan berada dalam radar Harimau Selatan apabila media Sepanyol, El Nuevo Insular berkongsi perkembangan berkenaan.
Gonzalez yang beraksi di posisi tengah berkenaan difahamkan mendapat tawaran JDT lebih awal lagi namun juara bertahan Liga Super itu akhirnya memilih Iker Undabarrena untuk menyarung jersi Harimau Selatan.
Sekiranya khabar angin dua pemain itu akan menyarung jersi JDT, pesaing-pesaing Harimau Selatan di Kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) perlu bersiap sedia menghadapi cabaran dari kelab elit selatan tanah air berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram