Tempang tanpa 4 tonggak import, TFC pertaruh kudrat pemain B-23 lawan Kedah


  • Podium
  • Ahad, 02 Jul 2023

Steinbruckner bertindak menggantung Mintah kerana masalah disiplin.

TERENGGANU FC (TFC) menghadapi cabaran getir berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus, Terengganu pada Isnin, selepas empat pemain import tidak dapat diturunkan.

Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner mengakui ketiadaan dua tonggak import, Ivan Mamut dan Argzim Redzovic meresahkannya apabila kedua-dua pemain itu digantung satu perlawanan susulan menerima kad merah pada perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 17 Jun lalu.

Selain itu, katanya, Sardor Kulmartov dan Syafiq Ismail masih dibelenggu masalah kecederaan manakala Jordan Mintah diketepikan daripada skuad utama dan akan beraksi dengan pasukan Terengganu FC II kerana masalah disiplin.

Steinbruckner berkata, bagi mengimbangi ketiadaan pemain di beberapa posisi, dia membawa masuk tiga pemain daripada skuad bawah 23 tahun.

"Kami mengadakan dua sesi latihan dan akan melihat apa yang boleh dilaksanakan mengikut perancangan diatur. Saya harap semua pemain dapat memberi tumpuan 100 peratus,” kata pengendali kelahiran Croatia itu selepas sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu pada Ahad.

Menurutnya, perlawanan ke-15 Liga Super itu malam esok (Isnin) amat penting untuk memastikan skuad Penyu mengutip tiga mata sekali gus memperbaiki kedudukan lebih baik di carta liga.

TFC ketika ini menduduki tempat kelapan Liga Super dengan 20 mata manakala KDA FC, di bawah bimbingan Nafuzi Zain, di tangga keempat dengan 28 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram