Kecewa 'awayday' di Sabah jadi makan angin, rasa sayang penyokong tegar Kedah masih utuh walau rugi cecah ribuan ringgit


  • Podium
  • Isnin, 07 Okt 2024

10 penyokong KDA FC itu menghabiskan kira-kira RM800 setiap seorang untuk hotel dan pengangkutan sahaja sepanjang empat hari di Sabah.

KEBELAKANGAN ini isu perubahan jadual daripada pengelola Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meraih perhatian daripada penyokong domestik susulan badan penganjur berkenaan masih belum dapat mengeluarkan jadual penuh.

Misalnya baru-baru ini, MFL mendapat kritikan daripada penyokong apabila mengummkan jadual yang hanya merangkumi aksi sehingga minggu ke-14 sehingga yang ke-16 dengan kedua-dua aksi itu berlangsung selama dua bulan.

Perkhabaran itu sekali gus menerima maklum balas kurang senang daripada peminat yang berasakan badan pengelola tersebut tidak menjalankan tugas baik demi memastikan kelancaran Liga Super musim ini.

BACA LAGI: Elok lagi Liga Kemboja', MFL terus dikecam hebat akibat jadual liga tak tersusun

BACA LAGI: Perubahan tarikh Piala AFF sukarkan MFL 'adjust' jadual baki musim 2024/25

Selain isu tidak dapat mengeluarkan senarai perlawanan penuh berikutan perubahan tarikh Piala AFF pada Disember depan, MFL juga mendapat teguran daripada penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila lambat mengumumkan penundaan perlawanan menentang Sabah FC.

Pemberitahuan saat-saat akhir berkenaan menyebabkan beberapa penyokong Sang Kenari berasa diri mereka dianiaya susulan perjalanan ke Kota Kinabalu, Sabah yang sepatutnya untuk menyokong KDA FC bertukar menjadi ‘makan angin’.

Situasi berkenaan berlaku kepada kelab penyokong KDA FC iaitu Jiwa Legasi Kedah (JLK) yang baru-baru ini menjadi mangsa pertukaran saat akhir jadual perlawanan MFL susulan proses baik pulih di gelanggang rasmi Sabah FC, Stadium Likas.

Wakil JLK, Mohd Anuar Shamsudin atau lebih mesra dengan sapaan Chip berkata, mereka tidak boleh menukar tiket penerbangan pada saat akhir susulan tindakan badan pengelola tersebut.

WhatsApp Image 2024-10-07 at 00.15.46

Seramai 10 orang ahli JLK sanggup melaburkan wang ringgit untuk menyokong Kedah di Sabah.

“Benda kita rancang nak pergi Sabah ini bukan sehari dua punya perancangan. Kita rancang dari dua tahun yang lepas. Tapi tahun lepas tak jadi sebab harga tiket penerbangan tinggi sangat.

“Tahun ini kami pergi Sabah dalam 10 orang sahaja. Kita dah beli tiket penerbangan awal sebab pada awal musim kan sudah dapat jadual. Beli awal pun sebab murah. Tiba-tiba pula kata cancel. Dah habis lawatan di Sabah, baru tahu jadual tukar main bulan depan.

“Kalau MFL awal beritahu, boleh tunda atau tukar tiket penerbangan. Tapi dah bila dah jadi macam ni, tidak akan nak cancel. Semua dah tempah, jadi pergi sahajalah makan angin,” katanya yang meluangkan masa selama empat hari di Sabah.

Berkongsi kepada Majoriti mengenai kos pengeluaran awayday di Sabah itu, Mohd Anuar memberitahu bahawa mereka menghabiskan kira-kira RM800 setiap seorang untuk hotel dan pengangkutan sahaja.

Meskipun tidak dapat menyaksikan perlawanan pada 28 September itu, Mohd Anuar memberikan penghargaan kepada pihak Stadium Likas apabila memberi peluang untuk mereka bergambar di dalam stadium atas tujuan kenangan.

WhatsApp Image 2024-10-07 at 00.22.03

Mohd Anuar menyokong Kedah sejak di bangku sekolah lagi.

“Pertama kali pergi Sabah tapi tidak dapat pula sebab itu kita pergi juga stadium pada petang itu. Kami minta kepada penjaga stadium untuk masuk tapi ambil gambar sajalah. Saya tengok padang, tak ada masalah pun tetapi mereka tukar track sahaja,” jelasnya.

Meskipun mengalami pengalaman sebegitu rupa, rasa sayang peniaga kelahiran Sungai Petani, Kedah itu kepada KDA FC tidak akan sama sekali luntur dan akan tetap menghadiri perlawanan mereka sebagai tanda sokongan.

Mohd Anuar juga berkata, masalah dalaman yang menganggu Kedah sehingga menjejaskan prestasi atas padang Sang Kenari juga tidak mematahkan semangatnya untuk mengundur diri daripada terus menjadi penyokong setia pasukan Hijau Kuning.

“Kedah masih boleh pergi jauh, tidak dinafikan kadang-kadang kami marah pemain. Isu tiada gaji adalah masalah pengurusan. Kita sedar dengan tak ada penaja besar, memang susah tetapi kita tetap akan sokong.

“Harapan saya supaya tidak mahu jatuh dari liga dan jangan terkubur dari Liga Malaysia ni. Saya harap sangat pemain pun tidak boikot lagi. Kalau nak boikot, lebih baik berhenti terus. Kita harap kita boleh akhiri musim lima teratas atau sekurang-kurangnya 10 teratas,” tutupnya.

Susulan penangguhan perlawanan berkenaan, Sang Kenari selepas ini dijadualkan akan menentang Sabah FC pada 28 Oktober nanti. Sebelumnya, pasukan kendalian Nafuzi Zain akan menentang Terengganu FC pada 19 Oktober ini di laman sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram