SUKAN Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) merupakan karnival sukan yang amat dinanti-nantikan atlet seluruh negara yang masih menuntut di universiti.
Temasya sukan itu sedikit berbeza dengan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) kerana ia disertai penuntut dari universiti awam dan swasta yang masing-masing memiliki potensi tersendiri.
Jadi, ia adalah satu batu loncatan buat mereka yang berminat dalam menaikkan lagi reputasi tersendiri selain mengharumkan nama IPT dalam bidang sukan.
BACA LAGI: SUKIPT: UPSI sasar 6 pingat emas olahraga, letakkan UPM pencabar utama
BACA LAGI: Siap 'friendly' dengan Perak FC, semangat UPSI membuak-buak menjelang SUKIPT
Rosita Lua (tengah) bersama dua lagi pemenang pingat dalam acara lompat tinggi. — Instagram/Sukan IPT Official
Antara acara dipertandingkan dalam SUKIPT ialah lompat tinggi yang berada dalam kategori sukan olahraga dengan tumpuan sering diberikan peminat acara tersebut.
Pada edisi yang lalu, wakil dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Rosita Lua Anak Jabing membawa pulang pingat emas dengan catatan 1.59 meter yang direkodkan dalam pusingan akhir.
Kejayaan itu menyaksikannya menepis saingan daripada Tuan Jualina Tuan Hasan yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) dan wakil Universiti Malaya (UM), Amni Muhammad Naqib yang masing-masing mencatatkan lompatan 1.56m.
Jadi, pada temasya kali ini, Rosita yang akan bersaing buat kali terakhir kelihatan yakin untuk meneruskan rekod tersebut kerana ia adalah kali terakhir baginya menyertai SUKIPT.
"Persiapan saya sebelum saya ke karnival itu nanti, saya memang memastikan latihan dibuat konsisten dan sesuai dengan sukan disertai iaitu lompat tinggi. Selain itu, saya juga akan fokuskan diri dan tingkatkan keyakinan dalam melakukan taktik dan teknik yang akan dipersembahkan.
Rosita mempunyai rekod cemerlang dalam SUKIPT apabila membawa pulang pingat emas pada edisi yang lalu. — Facebook/SUKIPT
"Pada edisi 2022, saya berasa syukur kerana saya dapat tempat pertama. Harapan saya untuk SUKIPT kali ini, saya mahu menyumbang pingat emas dan melakukan yang terbaik buat UPSI," katanya kepada Majoriti.
Saingan SUKIPT kali ini bakal diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah dengan Fasa 1 sudah bermula sejak Selasa lalu dengan hanya beberapa acara sudah dipertandingkan.
Bagi acara olahraga termasuk lompat jauh pula, ia akan dipertandingkan bermula Selasa depan akan memberikan atlet sedikit masa untuk mempersiapkan diri.
Dalam pada itu, Rosita yang merupakan pelajar dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan tidak berdepan tekanan untuk mengulangi pencapaian dua tahun lalu.
"Bagi saya, mereka sememangnya pencabar tetapi dari sukan-sukan sebelum ini, saya juga akan berdepan lawan yang sama. Oleh itu, kerisauan tersebut tidaklah begitu dirasai, namun semangat itu memang ada," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram