[VIDEO] Motivasi, kesungguhan coach Khor buat skuad bola keranjang UM semangat hadapi MASUM


  • Podium
  • Rabu, 17 Apr 2024

Khor (kiri) memikul tanggungjawab berat dalam mengendalikan pasukan bola keranjang lelaki dan wanita di Universiti Malaya. — Facebook/UM & Ex-UM Basketball

PENGANJURAN Karnival Sukan MASUM merupakan salah satu cara terbaik untuk mengasah bakat atlet yang sedang sibuk dalam pembelajaran masing-masing.

Pertandingan yang diadakan setiap tahun itu menyaksikan penyertaan daripada pelajar universiti tempatan dengan masing-masing mempunyai misi untuk membuktikan bakat tersendiri.

Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai kesukaran peserta untuk membahagikan masa dalam menghadiri sesi latihan dan pembelajaran.

Bagi kapten pasukan bola keranjang wanita Universiti Malaya, Elaine Fu, motivasi diberikan ketua jurulatih, Khor Loke Yew merupakan pendorong untuk pasukannya menjadi antara yang terbaik dalam negara.

"Jurulatih kami banyak menunjukkan dedikasinya untuk pasukan kerana dia ada kerja sepenuh masa tersendiri dan perlu melatih pasukan lelaki dan wanita.

BACA LAGI: Tidak mustahil ada parti politik akan ambil kesempatan pindaan Akta Universiti

369599833_686837426818264_4458936530295061690_n

Pasukan bola keranjang wanita meraih pingat emas dalam saingan MASUM 2023.

"Jadi, kami perlu menghargai usahanya. Selain itu, dia juga amat bersungguh-sungguh membimbing kami untuk bermain sebagai satu pasukan.

"Kebanyakan penuntut universiti fokus dalam kursus masing-masing, tetapi bagi saya, kehadiran seorang jurulatih yang sangat berdedikasi, saya bersemangat untuk melakukan sumbangan buat pasukan ini," katanya kepada Majoriti.

Jelas penuntut dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer itu, coach Khor menerima sokongan daripada dua pembantu jurulatih yang juga memainkan peranan penting dalam mengendalikan pasukan bola keranjang mereka.

Berdasarkan rekod, Universiti Malaya menampilkan prestasi cemerlang dalam karnival Masum tahun lalu apabila muncul johan dalam kategori lelaki dan wanita.

BACA LAGI: 'Kami tidak sangka terpilih menangi anugerah Masum'

Ini sudah tentu akan memberi suntikan motivasi buat pasukan berkenaan dalam mempertahankan gelaran dalam pertandingan yang bakal diadakan pada Fasa II di universiti tersebut pada Mei.

Tambah pelajar berusia 23 tahun itu, peluang beraksi di 'tempat sendiri' boleh memberikan kelebihan tersendiri buat mereka, namun ia bukanlah alasan untuk mereka berasa terlalu yakin.

"Saya rasa kalau bermain di gelanggang bola keranjang di Universiti Malaya, ada keistimewaannya, tetapi kita tidak boleh berasa sangat selesa.

"Ini kerana pasukan lain akan lebih agresif untuk bersaing dengan kita selepas kita muncul juara tahun lalu. Jadi, kita tidak boleh terlalu yakin," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram