Tak mahu kekecohan berulang, polis kerah 500 anggota kawal aksi Perak-JDT di Ipoh


  • 112
  • Sabtu, 05 Okt 2024

Aksi antara Perak FC dan JDT ditangguhkan sebelum ini berikutan isu takungan air dan hujan lebat. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SERAMAI kira-kira 500 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dikerah untuk mengawal suasana dalam pertembungan Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, persiapan lengkap sudah dibuat bagi aksi berkenaan selain penyokong kedua-dua pasukan dinasihati mengelak daripada sebarang pertikaian di luar stadium.

"Penyokong perlu bersikap menghormati antara satu sama lain dan berkelakuan seperti mana ditetapkan pihak polis, ini adalah acara kesukanan. Acara sebegini tidak sepatutnya terpalit dengan sebarang kekacauan daripada pihak yang saya label tidak cukup matang," katanya.

BACA LAGI: Perak wajib jadikan Guaycochea 'ramuan' istimewa sekat kemaraan JDT

BACA LAGI: Bakal berpindah ke Manjung, moga aksi terakhir Perak berdepan JDT di Ipoh cipta kenangan manis

2864850

Beberapa individu ditahan berikutan kekecohan di luar stadium pada Ogos lalu.

Azizi berkata demikian selepas merasmikan program Taman Angkat Amanita 2024 di Dewan Konvensyen Pusing, Batu Gajah, Perak pada Sabtu.

Aksi antara Perak FC dan JDT di venue tersebut sebelum ini ditangguhkan akibat padang bertakung berikutan hujan lebat yang berlaku pada 17 Ogos lalu.

Bagaimanapun, kekecohan masih berlaku selepas perlawanan yang hanya berlangsung selama kira-kira lima minit itu dengan beberapa penyokong dari kedua-dua pasukan berjaya ditahan.

Seramai lapan individu, termasuk remaja ditahan dalam kejadian berkenaan dengan masing-masing berusia antara 16 sehingga 32 tahun dengan masing-masing didakwa atas kesalahan terlibat dalam gangguan awam.

Insiden berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu apabila pada 2016, beberapa individu ditahan selepas perlawanan berikutan tindakan sebahagian penyokong JDT menceroboh masuk ke dalam padang Stadium Perak.

Malah, pada 2021, suasana hangat turut tercetus dalam pertembungan kedua-dua pasukan itu apabila pemain bertikam lidah setelah perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2 di venue sama. — The Star/ANNABELLE LAWRENCE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram