Tunggu sejam hanya dapat diskaun 90 sen, memori pahit cetus Ali Hasaan bina empayar Al-Ikhsan


  • Bizz
  • Ahad, 06 Okt 2024

Ali Hassan berkata, beliau ingin memastikan golongan kurang berkemampuan turut berpeluang memiliki barangan sukan berkualiti pada harga rendah.

RANGKAIAN kedai sukan Al-Ikhsan merupakan satu jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan penggemar sukan di dalam negara.

Dengan memiliki cawangan hampir di setiap pelusuk negara, Al-Ikhsan merupakan antara perintis terhadap jualan barangan sukan berkualiti pada harga rendah.

Pengasasnya, Ali Hassan Mohd Hassan berkata, idea untuk membuka kedai terbabit tercetus selepas dia berdepan dengan peristiwa agak kurang menyenangkan ketika meminta diskaun semasa membeli kasut bola di sebuah kedai sukan ketika dia masih bergelar pelajar.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Pada waktu itu, beliau memaklumkan kasut jenama Lotto yang dimahukannya dijual pada harga RM69.90.

Bagaimanapun, menurutnya, pemilik kedai terbabit hanya memberikan diskaun 90 sen sahaja selepas hampir sejam dia menunggu.

Bertitik tolak daripada peristiwa itu, Ali Hassan yang dibesarkan dalam keluarga miskin bertekad membuka kedai sukan yang menawarkan harga mampu milik kepada golongan kurang berkemampuan.

Berapa jumlah rangkaian kedai sukan Al-Ikhsan di seluruh negara dan berapa banyak peluang pekerjaan telah ditawarkan?

Kami mempunyai 183 kedai Al-Ikhsan dan sembilan kedai di bawah jenama Football Republic dengan lebih 1,000 kakitangan termasuk di ibu pejabat di Kuala Lumpur dan Skudai, Johor.

Mungkin ada yang tidak tahu Football Republic salah satu rangkaian yang mana kami menjual barangan bola sepak premium sama seperti dipakai pemain bola sepak ternama dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Interview pengasas Al - Ikhsan untuk ruangan bisnes (perlukan foto). TUAN HAJI ALI HASSAN MOHD HASSAN

Pengasas Al-Ikhsan, Ali Hassan Mohd Hassan.

Football Republic sentiasa menjadi tumpuan penggemar sukan bola sepak tidak kira peringkat kebangsaan, liga tempatan, liga sosial, pelajar universiti ataupun pelajar sekolah.

Jika mereka mahukan kasut bola sepak yang berkualiti tinggi ia ada di sini. Bukan sahaja kasut bola, koleksi jersi juga ditawarkan di Football Republic. Semua produk adalah terhad. Kasut bola sepak misalnya, yang berharga RM1,000 ke atas keluarannya hanya 3,000 seluruh dunia. Ini bermakna, ada sebahagian kecil himpunan kasut itu dijual di Football Republic.

Ia bukan sekadar menawarkan produk premium, malah produk untuk golongan sederhana turut ditawarkan sama seperti Al-Ikhsan. Bezanya, produk premium itu tidak ditawarkan premis di Al-Ikhsan.

Al-Ikhsan bukan sahaja mengedar kelengkapan sukan pelbagai jenama, bahkan mempunyai jenama sendiri iaitu AL. Oleh itu, bagaimana penerimaan orang ramai terhadap jenama ini?

Penerimaan terhadap AL amat memberangsangkan kerana kualitinya bagus dan harga pula berpatutan. Lazimnya, peringkat permulaan pelanggan yang datang tidak akan membeli seluar sukan jenama Nike atau Adidas kerana harga RM200 ke atas disifatkan mahal. Pun demikian sebaik sahaja memegang seluar berkenaan kualitinya sama seperti jenama besar lain dan harga jauh lebih murah.

Jenama AL menawarkan harga mampu milik dengan kualiti setanding jenama lain. Sudah 30 tahun kami mempraktikkan harga berpatutan demi kepuasan hati para pelanggan khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

Interview pengasas Al - Ikhsan untuk ruangan bisnes (perlukan foto). TUAN HAJI ALI HASSAN MOHD HASSAN

Sebab itu ketika mesyuarat di peringkat global membabitkan jenama besar seperti Adidas, Nike dan sebagainya saya akan berjuang mengenai harga mampu milik. Jika nak harapkan pengurus jenama ini di Malaysia mereka tidak melakukannya.

Di United Kingdom (UK) nilai 1 pound dulu sudah bersamaan RM7, gaji tukang sapu di sana 1,500 pound di Malaysia gaji RM1,200, ada beza. Begitu juga harga kasut. Jika 70 pound, darab harga Malaysia sudah berapa? Bagi orang UK, 70 pound itu tiada apa, tetapi orang kita sudah berapa ratus ringgit hanya untuk sepasang kasut.

Apabila saya berjuang, ALLAH bukakan hati mereka terfikir dan mula berbincang. Susulan berjaya pasarkan orang mula nampak Al-Ikhsan dan kemudian timbul pula fitnah mengatakan produk kami tiruan. Enggan berterusan, maka kami paparkan di premis sekiranya mendapati barangan tiruan sila pulangkan dan wang mereka digandakan tiga kali ganda.

Bila kita semakin mendapat sambutan, tercetus idea mengeluarkan koleksi AL. Sebab saya tahu dari segi kualiti yang digunakan dan harga. Saya juga tahu proses jenama lain mark up harga. Cuba tengok Ronaldo dan Messi memakai jenama tertentu dan siapa bayar mereka? Pembeli yang bayar. Jadi kami hasilkan AL berkualiti pada harga mampu milik.

Al-Ikhsan dilihat antara jenama yang aktif menaja pasukan bola sepak untuk saingan Liga Malaysia. Berapakah jumlah diperuntukkan untuk menaja semua pasukan?

Interview pengasas Al - Ikhsan untuk ruangan bisnes (perlukan foto). TUAN HAJI ALI HASSAN MOHD HASSAN

Ali Hassan berkata, sudah mengintai peluang di negara-negara tertentu seperti di rantau ASEAN dan negara Islam.

Berapa jumlah itu biarlah rahsia, tetapi setiap tahun kami aktif menaja. Sebelum ini kami pernah menaja Terengganu, Kedah, Sabah, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan dengan majoriti pasukan dalam Malaysia pernah menerima tajaan daripada kami.

Di peringkat Liga M3, semua pasukan ditaja pada musim ini sampai Liga M4 namakan Piala Al-Ikhsan. Kami juga bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk produk Harimau Malaya.

Selain itu, kami turut menaja pasukan Ragbi Malaysia menerusi AL, selain sukan sepak takraw. Ini salah satu usaha untuk meningkatkan jenama AL, selain memastikan pasukan yang menerima tajaan memakai kelengkapan sukan seperti jersi berkualiti tinggi setanding pasukan di luar negara.

Kami juga menjalankan research and development (R&D), macam jersi ragbi bukan mudah untuk dihasilkan. Kena pastikan material digunakan berkualiti dan tidak koyak apabila ditarik, selain bola ragbi tidak mudah terjatuh dan lekat pada jersi. Ini semua kami buat R&D. Jika tiada teknologi pemain tidak berminat untuk memakai.

Apakah perancangan Al-Ikhsan dalam tempoh 10 tahun akan datang?

Selain mengukuhkan keberadaan kami dalam pasaran tempatan, buat masa ini kami sudah mengintai peluang di negara-negara tertentu bagi menawarkan harga mampu milik ini. Namun kami tidak mahu gelojoh. Negara yang berada dalam radar kami seperti rantau ASEAN dan negara-negara Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram