Irfan Bakti anggap Badrul belum bersedia, Che Ku anggap TCH, Nafuzi calon terbaik kendali TFC


  • Podium
  • Rabu, 02 Okt 2024

Pemergian Steinbruckner berpunca daripada prestasi semasa kelab yang tidak baik dalam Liga Super dan Piala Shopee. — Facebook/TFC

PENGENDALI dari Croatia, Tomislav Steinbruckner sah meninggalkan jawatannya sebagai jurulatih Terengganu FC (TFC) selepas beliau sendiri bersetuju untuk mengundur diri daripada posisinya itu.

Dalam kenyataan dikeluarkan oleh kelab pada Selasa, keputusan Steinbruckner untuk meninggalkan skuad Sang Penyu turut diikuti oleh dua pembantunya iaitu Ivica Vranjes dan Hrvoje Bradasic.

Pemergian Steinbruckner berpunca daripada prestasi semasa kelab yang tidak baik dalam Liga Super dan Piala Shopee. Kemuncak kemarahan penyokong ketika persembahan kurang berkualiti ditampilkan dalam perlawanan tewas 0-1 kepada Selangor FC.

BACA LAGI: Hilang khidmat Ivan Mamut, peluang Safawi Rasid curi hati Tomislav Steinbruckner

BACA LAGI: Terengganu nafi khabar angin Tomislav Steinbruckner meninggal dunia

Kehilangan pemergian jurulatih berusia 58 tahun dari posisi tersebut akan diambil alih oleh penolong jurulatih kelahiran Terengganu, Badrul Afzan Razali dan dibantu oleh ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Hairuddin Omar.

Keputusan pihak pengurusan yang menggunakan khidmat Badrul Afzan sebagai jurulatih interim untuk skuad Sang Penyu itu bagaimanapun kurang dipersetujui oleh jurulatih legenda Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim.

Irfan Bakti yang pernah mengepalai Terengganu sebanyak dua kali berkata, kekurangan pengalaman dalam melatih pasukan Liga Super menjadikan Badrul Afzan bukan calon sesuai untuk mengemudi Sang Penyu selepas ini.

"Badrul baru dapat sijil pro ( Lesen Diploma Pro A) mungkin dia dalam proses nak ambil pengalaman. Dalam saingan Liga Super ini bukan senang tapi mungkin dengan bantuan Hai-O (Hairuddin) boleh membantu.

"Pengalaman bola Hai-O lebih dia daripada Badrul walaupun Hai-O tiada lesen. Bagaimanapun saya ingin tegaskan bahawa pengguguran jurulatih tidak menyelesaikan masalah prestasi Terengganu," katanya kepada Majoriti.

BADURL MAIN MAIN

Badrul Afzan (depan) akan menjadi jurulatih interim Terengganu.

Meskipun tidak menyebut mana-mana nama jurulatih namun jurulatih berusia 73 tahun itu berpendapat status Terengganu sebagai kelab elit mewajarkan Sang Penyu untuk mendapatkan jurulatih berpengalaman dalam Liga Super.

Sementara itu, legenda bola sepak Terengganu, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor pula berpendapat Nafuzi Zain dan Tan Cheng Hoe antara nama jurulatih sesuai menggantikan khidmat Steinbruckner.

Namun, dengan Terengganu kini sedang bergelut dalam Piala Shopee yang mana melibatkan pasukan terbaik Asia Tenggara, Che Ku Marzuki mencadangkan untuk mencuba khidmat jurulatih import.

TCH TCH

Cheng Hoe dianggap antara calon sesuai untuk melatih Terengganu.

"Terengganu sudah ada perancangan atau tidak untuk mencari ketua jurulatih dengan nama seperti coach Nafuzi dan coach Tan (Cheng Hoe) dikaitkan.

"Kedua-dua nama ini sesuai untuk Liga Malaysia tetapi untuk aksi peringkat Asia, seorang jurulatih import profesional sesuai membimbing Terengganu," tambah Che Ku Marzuki.

Terengganu berpeluang untuk mendapatkan kembali Nafuzi susulan Kedah Darul Aman (KDA) FC kini mempunyai masalah kewangan yang belum menemui titik nokhtah. Manakala, Cheng Hoe pula masih belum berkhidmat dengan mana-mana kelab sejak meninggalkan Police Tero pada Jun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram