[VIDEO] Jenis tak makan dalam, 3 pemain 'gentlemen confront' penyokong walau pedih telinga 'kena sekolah'


  • Podium
  • Selasa, 01 Okt 2024

Sikap Safawi yang bertanggungjawab bersemuka dengan penyokong Terengganu itu mendapat pujian peminat bola sepak tanah air. — Facebook/TFC

SETIAP kelab bola sepak tidak kira dalam saingan luar negara mahupun liga domestik pasti melalui proses menang, seri dan kalah dan semua itu dianggap satu pembelajaran untuk menjadikan pasukan lebih matang.

Bagaimanapun, tidak semua penyokong boleh menerima jika pasukan kegemaran mereka asyik bergelut dengan masalah prestasi sehingga hanya merekodkan kekalahan demi kekalahan sahaja.

Kekerapan tidak membawa pulang apa-apa mata dan bahkan hanya mampu berkongsi mata menjadi punca runtuhnya kepercayaan penyokong terhadap pasukan kesayangan mereka sehingga akhirnya mereka akan melempar tohmahan sebagai tanda rasa tidak puas hati.

BACA LAGI: [VIDEO] Kini No. 2 Chinese Super League, JDT perlu awasi bekas anak didik Jurgen Klopp

BACA LAGI: 'Hint kapak, aura viking' bekas rakan sepasukan Ibrahimovic muncul 2 nama jadi teka-teki fans Selangor

Suasana pemain dilempar kata-kata kurang enak dan kritikan keras bukan hanya rancak berlaku di media sosial tetapi juga berlaku secara langsung kepada pemain semasa atau usai perlawanan liga.

Jika berlaku situasi sebegitu rupa, ada juga pemain yang berani untuk berjumpa secara terus kepada para penyokong bagi menenangkan mereka dan meminta maaf berhubung kekalahan dihadapi.

Misalnya baru-baru ini menyaksikan ketua pasukan Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid bertanggungjawab bersemuka dengan penyokong susulan skuad Sang Penyu yang tidak merekodkan kemenangan dalam lima perlawanan terakhir mereka.

Dalam satu video tular, memaparkan Safawi dan bersama rakan sepasukannya menghampiri kawasan tempat duduk ultras Terengganu bagi selepas perlawanan tewas 0-1 bertemu Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dekat Gong Badak pada Sabtu.

Walaupun tidak pasti apa yang diungkapkan penyerang sayap berkenaan namun melihat pada bahasa tubuhnya jelas menunjukkan pemain berkenaan meminta maaf kepada 'pemain ke-12' Terengganu susulan masalah prestasi mereka.

Selepas ucapan ikhlas Safawi sebagai wakil pasukan itu, para penyokong juga dilihat kembali tenang dan memberi tepukan penghargaan kepada pemain berikutan masih sudi dan berani bertemu penyokong.

Selain tonggak berusia 27 tahun itu, ada juga pemain dari pasukan lain seperti Safuwan Baharudin dari Selangor FC dan arkitek berpengalaman Sri Pahang, Nor Azam Azih yang berani menemui penyokong.

1) Safuwan Baharudin

Musim 2022 boleh dikatakan tahun kurang memihak kepada skuad Gergasi Merah sehingga tercetus insiden penyokong mengkritik dan mencaci kapten skuad The Red Giants iaitu Safuwan.

Individu berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat ketika pemain import dari Singapura itu menghampiri kumpulan penyokong yang berada di tempat duduk penonton untuk cuba menenangkan penyokong.

Insiden itu berlaku pada 11 April 2022 selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dekat Petaling Jata, Selangor yang berkesudahan Selangor menang 4-1.

Selepas insiden panas antara penyokong dan pemain Merah Kuning tersebut, Safuwan menerusi akaun Instagram Story miliknya mengakui insiden berkenaan agak mengecewakan, namun dia tetap positif dan memaafkan individu terbabit.

2) Azam Azih

Pemain berpengalaman Sri Pahang iaitu Azam Azih sudah bersama pasukan berkenaan sejak 2015 dan banyak sudah pahit manis dilalui tonggak berusia 29 tahun tersebut seperti ketika kemarahan penyokong meletus pada dua tahun lepas.

Kemarahan penyokong yang dipendam diluahkan selepas Tok Gajah ketika itu mengalami kekalahan keenam apabila tunduk 3-0 di tangan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada 2022.

Menerusi video yang tersebar di media sosial, penyokong meluahkan perasaan tidak puas hati kepada pemain selepas perlawanan itu dan Azam Azih antara dilihat cuba menenangkan keadaan panas itu.

Pahang yang ketika itu dikendalikan oleh Christophe Gamel hanya meraih dua kemenangan dalam liga, seri dua kali dan tewas enam kali selepas 10 perlawanan diadakan. Penghujung musim menyaksikan Tok Gajah menghuni kedudukan kesembilan dengan hanya meraih 11 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram