Isu pengadilan 'berjangkit' ke sepak takraw, fans harap GP Perak bukan reff sama di Terengganu


  • Podium
  • Isnin, 30 Sep 2024

Antara aksi perlawanan antara Terengganu Turtles dengan Selangor Pistons (jersi oren) pada Jumaat.

ISU pengadilan bukanlah isu baharu dalam sukan tanah air kerana penyokong sering disajikan dengan insiden luar jangka di atas padang.

Begitupun, isu pengadilan tersebut tidak terhenti di atas padang kerana masalah itu kini hangat diperkatakan di atas gelanggang sepak takraw.

Hal ini kerana, saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 dicemari dengan insiden kurang menyenangkan apabila keputusan pengadil menjadi perbalahan penyokong bola rotan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Bantu Kelantan Warriors mara suku akhir, tekong import Thailand ucap selamat tinggal

BACA LAGI: VAR negara di landasan terbaik standard FIFA, bakal latih 3 pengadil wanita — FAM

Isu pengadilan tersebut tercetus dalam aksi separuh akhir antara Selangor Pistons dan Terengganu Turtles pada Jumaat lepas dalam saingan Grand Prix (GP) Terengganu.

Dipercayai, insiden tegang itu tercetus pada penghujung perlawanan apabila barisan kejurulatihan Selangor Pistons tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang didakwa berat sebelah.

Bukan itu sahaja malah terdapat juga beberapa keputusan kontroversi yang turut berlaku dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu.

Dalam pada itu, menjelang perlawanan GP Perak yang akan membuka tirainya pada 9 hingga 13 Oktober nanti di Stadium Indera Mulia, Ipoh itu, ramai peminat sepak takraw berharap agar isu pengadilan tidak berulang kembali.

Malah, mereka berharap agar perlawanan di GP Perak berjalan lancar dan tidak dicemari dengan kontroversi daripada pihak pengadil.

"Ref kena kurangkan kontroversi di GP Perak ini, biarlah perlawanan kali ini berjalan lancar," kata Mohd Lokmal Md Hussein.

"Saya mohon sangat-sangat agar Persatuan Sepak Takraw Malaysia cari reff yang lain, jangan dibawa reff yang sama macam dekat GP Terengganu banyak tidur, banyak keputusan kontroversi dari reff," kata Rizuan Mcwzo.

"Harap pengadil utama dan pembnatu pengadil lebih fokus supaya tidak menimbulkan perbalahan pemain dan pengurusan," kata Rizal Shah Pekong.

"Malaysia ni tidak kira sukan apa sekalipun memang sudah terbukti reff Malaysia ini berat sebelah dan kayu, rosaknya sukan sebab reff," kata Mat Yie. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram