Kelibat Gamel bersama skuad muda Vietnam dapat 'restu' ex-Pahang, tonggak Kedah


  • Podium
  • Khamis, 04 Mei 2023

Khidmat Gamel diperlukan untuk membantu ketua jurulatih Vietnam dalam misi pertahankan pingat emas.

KEJAYAAN Sri Pahang FC ketika menundukkan Terengganu FC dengan keputusan 2-1 meletakkan skuad Tok Gajah itu berada pada kedudukan ketiga dalam saingan Liga Super 2023 selain melakar rekod tanpa kalah setakat ini.

Kemenangan itu sudah pasti dikatakan sebagai hasil kerja keras daripada pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad menerusi pengalamannya dalam Liga Malaysia.

Hal ini kerana, sejak beberapa tahun lalu, skuad Sri Pahang FC mempunyai isu kejurulatihan dan ia merupakan perkara mengembirakan apabila mereka kini berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super selepas 10 perlawanan.

WhatsApp Image 2023-05-03 at 22.47.05

Menerusi hantaran di Instagram, bekas jurulatih Tok Gajah kini berkhidmat di Vietnam. Instagram/c.gamel.coach

Bekas ketua jurulatih, Christophe Gamel merupakan salah seorang jurulatih yang gagal menampakkan sebarang hasil ketika mengendalikan pasukan itu.

Gamel dilantik sebagai pengendali skuad Sri Pahang FC pada awal musim 2022 sebelum berpisah atas persetujuan bersama pada Julai 2022.

Sepanjang skuad Tok Gajah di bawah kendaliannya, pasukan itu hanya mencatatkan dua kemenangan dalam 11 perlawanan Liga Super.

Oleh itu, tidak hairan prestasi yang ditunjukkan oleh pengendali berasal dari Perancis itu sememangnya membawa kepada kemerosotan skuad Tok Gajah dalam Liga Super musim lalu.

Namun, bekas ketua jurulatih Tok Gajah itu kini berada dalam barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Vietnam bawah 22 tahun (B-22).

Walaupun masih dalam proses percubaan dan belum dilantik sebagai pembantu jurulatih secara rasmi namun khidmat Gamel diperlukan untuk membantu ketua jurulatih Vietnam, Phillipe Troussier dalam misi pertahankan pingat emas Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Lebih menarik lagi, pasukan Malaysia B-22 kendalian El. Elavarasan bakal dijadualkan menentang Vietnam B-22 pada 8 Mei dalam peringkat kumpulan.

Tambahan pula, dalam perkongsian gambar yang dimuat naik di Instagram miliknya, dua nama bekas pemain di bawah kendaliannya 'dikesan; memberi sokongan kepada karier kejurulatihan terbaharunya itu.

Mamadou Samassa dan Lee Tuck antara pemain yang reaksi kepada hantaran tersebut.

Samassa sempat menyarung jersi Sri Pahang selama semusim sebelum kontrak ditamatkan pada hujung musim lalu.

Dia kini merupakan ejen bebas yang masih tidak terikat dengan mana-mana kelab.

Samassa pernah terpalit kontroversi dengan Faisal Halim yang kini menyarung jersi Selangor FC selepas berhijrah dari Terengganu FC.

Ia berpunca daripada insiden penalti apabila Faisal dilihat sempat membuat provokasi ‘menganjing’ Mamadou Samassa dengan mengajuk kembali tindakan penjaga gol import itu yang gagal menyelamatkan sepakan penalti berkenaan.

Sementara itu, Lee Tuck yang kini menjadi tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC juga tidak terlepas daripada kontroversi apabila berhijrah ke kelab Utara itu.

Lee Tuck dikatakan 'lupa diri' selepas Sri Pahang berusaha mendapatkan status naturalisasi buatnya tetapi dia mengambil keputusan untuk meninggalkan Tok Gajah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram