SATU keputusan mengecewakan dialami Manchester United di laman sendiri apabila mereka tewas 0-3 kepada Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Aksi yang berlangsung di Stadium Old Trafford itu menyaksikan tuan rumah ketinggalan seawal minit pertama selepas Brennan Johnson menampan masuk hantaran Micky Van de Ven.
Serangan balas segera dilancarkan skuad The Red Devils untuk cuba mengikat kedudukan, namun hantaran mereka sering kali dipintas pasukan pelawat yang hanya mengecewakan usaha tersebut.
BACA LAGI: 'Seronok kongsi padang dengan anda', ucapan Rashford hint Bruno sertai kelab CR7
BACA LAGI: [VIDEO] Bruno Fernandes lakar gol cantik tapi CR7 tiba-tiba naik angin
Nasib malang terus dialami pasukan bimbingan Erik ten Hag selepas kapten mereka, Bruno Fernandes dilayangkan kad merah pada minit ke-42 susulan bentesan dilakukan terhadap bintang Spurs, James Maddison.
Kekasaran dilakukan pemain antarabangsa Portugal itu jelas sukar diterima pengadil, Chris Kavanagh yang tidak teragak-agak mengambil keputusan itu dengan ia terus meranapkan harapan Manchester United.
Kad merah tersebut jelas sukar diterima Fernandes serta skuad The Red Devils yang membuat bantahan sambil meminta semakan dibuat menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR).
Bagaimanapun, permintaan berkenaan tidak didengari pengadil dengan kapten tuan rumah tersebut kemudiannya perlahan meninggalkan padang sebelum aksi babak pertama melabuhkan tirainya.
Tetapi, apa yang orang ramai tertarik adalah apabila Maddison yang dikasari tampil mengatakan sesuatu kepada Fernandes dengan perkara berkenaan menimbulkan persoalan.
Ini kerana penyokong kedua-dua pasukan ingin mengetahui apakah mesej dibisikkan pemain antarabangsa England itu ketika nasib buruk terus menimpa Manchester United.
Fernandes (dua dari kanan) percaya kad merah itu tidak wajar diberikan. — Agensi
Bercakap kepada media selepas perlawanan, Fernandes menjelaskan bagaimana Maddison turut mengakui pengadil tidak sepatutnya melayangkan kad merah, namun percaya ia adalah satu kesalahan disengajakan.
"Dia mengatakan bentesan itu salah, tetapi berasakan hukuman diterima saya tidak wajar. Pada mata orang lain juga, saya yakin mereka juga bersetuju dengannya kerana jika kad merah wajar dilayangkan, terdapat insiden lain yang perlu diperhatikan.
"Saya berdepan pelbagai pengalaman yang mana saya dikasari, namun pemain lawan tidak berdepan nasib sedemikian. Saya percaya kad merah bukanlah apa yang wajar dikenakan terhadap saya," katanya.
Kehilangan seorang pemain menyaksikan Manchester United terus dibolosi pada babak kedua dengan Dejan Kulusevski dan Dominic Solanke masing-masing mencatatkan satu gol peribadi.
Meskipun terdapat beberapa peluang keemasan, skuad The Red Devils terpaksa akur dengan kekalahan ketiga mereka dalam EPL musim ini yang sekali gus meletakkan mereka di tangga ke-12 selepas enam perlawanan.
Pasukan itu akan berdepan FC Porto dalam kempen Liga Europa UEFA pada Jumaat sebelum kembali ke saingan EPL untuk bertemu Aston Villa di tempat lawan tiga hari kemudiannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram