SELEPAS menerima cuti rehat daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Selangor FC kembali beraksi dalam Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Sabtu (28 September).
Ternyata cuti rehat itu memberikan kelebihan buat Selangor untuk mendahului permainan seawal minit pertama hasil jaringan Ronnie Fernandez pada kurang daripada seminit.
Perubahan posisi Safuwan Baharudin ke posisi tengah memberikan kelebihan buat Selangor untuk mengawal permainan pada babak pertama permainan.
BACA LAGI: [VIDEO] Penganalisis kemuka bukti, Michael Oliver didakwa pengadil Manchester City
Namun berbeza pula ceritanya di kem Terengganu apabila stadium dilihat sunyi selepas sorakan Ultras Selangor hampir menguasai keseluruhan venue.
Selangor yang mempunyai masalah prestasi di tempat lawan ibarat beraksi di halaman sendiri kerana ketiadaan penyokong Terengganu di perlawanan besar seperti itu.
Malah suara pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner lebih banyak kedengaran selepas dia jelas tidak berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya.
Keputusan semasa di separuh masa pertama, Terengganu 0-1 Selangor hasil jaringan Ronnie Fernandez
Bersambung babak kedua, corak permainan Terengganu sedikit berubah selepas mereka dilihat lebih banyak menyerang ke bahagian pertahanan Selangor.
Selepas beberapa pertukaran Terengganu banyak memberikan masalah buat benteng pertahanan Selangor, namun pemain-pemain Gergasi Merah kekal displin menafikannya.
Beberapa percubaan Terengganu pada babak kedua gagal membawa sebarang hasil sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.
Keputusan kekal 0-1 dengan Selangor berjaya membawa pulang tiga mata berharga ke Shah Alam.
Walaupun berjaya membawa pulang tiga mata, rata-rata penyokong Selangor tidak gembira dengan persembahan separuh masa kedua Gergasi Merah.
"Selangor masih lemah serba-serbi, gagal kawal permainan, kawalan bola lemah, tak ada halatuju, tak ada persefahaman, hilang punca bila bola dikaki, tak pasti apa corak latihan Nidzam Jamil," kata Mie Murano.
"Kedudukan kini masih 'leading' 1-0. Tapi jika kedudukan akhir seri ataupun kalah, Selangor sendiri yang salah sebab pemain passing tak kemas, main sambil lewa dan 'over confident'," jelas Subadri Said.
"Selangor seri atau kalah, teruk main hantar bola pun tak sampai," ujar Riz.
Selangor selepas ini akan bertemu Cebu FC di saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) pada 3 Oktober.
Manakala Terengganu pula akan bertemu PDRM FC di Stadium Selayang pada 4 Oktober depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram